Ad

Friday 6 January 2017

Selangor belum ‘panas’

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
PEMAIN Selangor Raimi Md. Nor (kanan) dihalang oleh pemain PDRM pada aksi persahabatan di padang Pulapol, Kuala Lumpur semalam.

PENGENDALI skuad Selangor, P. Maniam masih tidak berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya meskipun berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan pramusim kedua sejak mengambil alih kerusi ketua jurulatih secara rasmi minggu lalu.

Pada perlawanan tersebut, pemain akademi Gergasi Merah, K. Kannan berjaya meletakkan pasukan pelawat di depan hasil rembatan kencang pada minit-4 sebelum pemain import PDRM, Bakary Dao Bouba menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-32. Namun, Selangor mendapatkan gol kemenangan berselang 10 minit kemudian selepas Forkey Doe menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Menurut Maniam, secara keseluruhan persembahan barisan pemainnya pada babak pertama sangat memberangsangkan selain kombinasi antara pemain muda dan senior agak menjadi tetapi situasi yang berbeza berlaku pada separuh masa kedua.

“Pada separuh masa pertama, kami gunakan sepenuhnya pemain kami dan saya lihat ada peningkatan berbanding perlawanan pertama menentang Sime Darby minggu lepas. Cuma, selepas melakukan rombakan pada babak kedua dengan memasukkan beberapa pemain import, pergerakan barisan serangan kami tidak begitu lancar.

“Secara jujur, semua pemain import yang hadir pada petang ini (semalam) tidak berjaya memikat hati kami dan tidak mencapai standard yang ditetapkan pasukan. Justeru, kami masih mengharap ada lagi pemain import yang berkualiti akan hadir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, Selangor telah meletakkan enam pemain import daripada pelbagai warga negara seperti Costa Rica, Nigeria, dan Cameroon untuk melengkapkan kuota importnya masih mempunyai dua kekosongan.

“Kami masih memiliki dua slot untuk pemain import selepas menandatangani (Ugo) Ukah dan mengekalkan khidmat Andik (Vermansyah). Meskipun Forkey Doe beraksi cemerlang hari ini, status kontraknya hanya akan diketahui pada minggu depan.

“Bagi pemain presiden pula, saya telah menyerap lapan pemain ke dalam skuad senior dan saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh mereka khususnya Muhammad Syahmi Safari dan K. Kannan.

“Kini, kami akan menantikan kehadiran Andik yang dijangka akan tiba pada 10 Januari depan sebelum mengumumkan senarai pasukan lengkap untuk mengharungi liga tahun ini,” jelasnya lagi.

Juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu akan melayan kunjungan Terengganu dalam aksi perlawanan pramusim ketiga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu depan.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4V2xaMXUk

Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment