7 JANUARI 2017
Mohd Faiz Subri Faiz Subri. -
Foto Official Website of Penang Football Association
RAKYAT Malaysia khususnya
peminat bola sepak tempatan seakan tidak sabar menanti detik bersejarah
menyaksikan kelibat finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(Fifa) 2016, Mohd Faiz Subri berdiri di pentas anugerah bola sepak paling
berprestij itu.
Berbaki dua hari sebelum
anugerah yang dijadual berlangsung pada 9 Januari ini di Zurich, Switzerland,
rata-rata netizen di media sosial tidak putus memberikan sokongan serta
mendoakan kejayaan beliau meraih anugerah berkenaan.
Lebih manis lagi, pencalonan
beliau itu merupakan detik istimewa dalam lipatan sejarah bola sepak Asia
apabila menjadi pemain Asia pertama berjaya menempatkan diri dalam kelompok
tiga terbaik bagi anugerah berkenaan.
Seorang pengguna aplikasi
Twitter, @RichmanHazim berkata, "Tinggal 2 hari sebelum Anugerah Fifa
2016, tak sabar nak melihat gol Faiz Subri diumumkan sebagai juara. Sangat
bangga!".
"Faiz Subri adalah
kebanggaan Malaysia, marilah kita beramai-ramai mendoakan kejayaan beliau di
anugerah Fifa 2016 nanti" demikian kata Siti Norasah Ahmad dalam entri
akaun Facebooknya.
Kalangan netizen juga tidak
ketinggalan menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengundi jaringan
'ajaib' Mohd Faiz itu bagi membolehkan beliau meraih anugerah tersebut.
Seorang lagi pengguna twitter,
@fuad_hahaa berkata, "Selangkah lagi untuk mencipta sejarah, ayuh rakyat
Malaysia undilah Faiz Subri untuk Puskas Fifa Award!,"
"There are three finalists
and Faiz Subri is one of them. Come on Malaysian, do something for your
country!," (Terdapat tiga finalis dan Faiz Subri seorang daripada mereka.
Ayuh rakyat Malaysia, lakukan sesuatu untuk negara anda)demikian tweet @dayangsuhana_.
Sementara itu, Mohamad Arif
dalam entri akaun Facebooknya berkata "Ayuh... usah biar sejarah berlalu
pergi tanpa usaha dan keringat, mari undi untuk Faiz Subri,".
Gol 'ajaib' Mohd Faiz itu bukan
sahaja menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka mata
peminat bola sepak seluruh dunia, ia dibuktikan apabila video gol pencalonan
tersebut di laman YouTube terus mendahului dua pesaing utamanya.
Setakat jam 2.30 petang ini,
video tersebut yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV pada 21 November tahun
lalu terus mencuri tumpuan apabila ditonton 2,325,881 pelayar seluruh dunia.
Jumlah tersebut meninggalkan
dua pencabar utamanya iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil
(1,446,880) dan pemain wanita, Daniusa Rodriguez dari Venezuela (1,137,040).
Peminat bola sepak tempatan
masih berpeluang untuk mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi
FIFA, www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada 9 Januari ini
berdasarkan undian yang dibuat seluruh dunia. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7
JANUARI 2017
No comments:
Post a Comment