Ad

Saturday, 7 January 2017

Asah taring

 
SAFEE (kanan) sedia curah segala pengalaman bantu Semut Merah.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kecewa dengan aksinya pada Piala AFF di Myanmar dua bulan lalu, Safee Sali mengakui ia antara punca mengapa dia memilih untuk mencari haluan berbeza dengan menyertai PKNS FC selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim ini.

Katanya, dia bertekad untuk mengasah kembali sentuhan tajamnya di kelab baharunya itu seperti yang pernah dirasakannya ketika muncul penjaring terbanyak Piala AFF 2010.


“Saya akui kecewa gagal berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan sebelum ini menjadi faktor penghijrahan saya ke PKNS.

“Apa yang saya boleh lakukan kini adalah mendapatkan kembali rentak dan prestasi kerana saya percaya saya masih lagi boleh diharapkan,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan pramusim menentang Kuala Lumpur yang menyaksikan PKNS menang 1-0.

Pada kempen Piala AFF baru-baru ini, bekas penyerang Pelita Jaya dalam Liga Indonesia itu hanya berjaya membuat dua penampilan selaku pemain gantian dalam tiga aksi yang menyaksikan skuad negara terkandas di peringkat kumpulan.

Jelasnya lagi, meraih tujuh kejuaraan dalam tempoh empat musim selama bersama Johor DT nyata cukup mematangkannya apabila bersedia mencurahkan segala pengalaman untuk membantu skuad Semut Merah pula selepas ini.

Meskipun sering memanaskan bangku simpanan dengan dibayangi dua penggempur import Johor DT seperti Luciano Figueroa (musim 2015), Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero (kedua-duanya musim lalu), Safee langsung tidak kesal dengan situasi itu.

“Mungkin minit bermain saya agak terbatas. Bagaimanapun secara keseluruhan, saya tidak menyesal kerana saya menjulang banyak piala bersama Johor DT selain pihak pengurusan di sana juga sangat profesional dan saya amat berbesar hati.

“Kini saya bersama dengan kelab baharu dan masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak yang diterapkan jurulatih (E Elavarasan) selain mahu membentuk keserasian dengan rakan sepasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:37 AM

No comments:

Post a Comment