Ad

Friday 6 January 2017

Jangan hampakan peminat

SAUDARA PENGARANG,  |  04 Januari 2017 5:01 PM
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengancam untuk tidak beraksi di dalam Liga Malaysia (Liga M) kerana alasan tidak mampu untuk menyediakan dana sekurang-kurangnya RM15 juta bagi musim hadapan.
‘The Red Warriors’ (TRW) dan ‘The Red Giants’ kini dalam keadaan tidak menentu walaupun masa semakin singkat dan memerlukan satu keputusan bijak dalam masa terdekat.
Mereka bukan sahaja akan hilang status sebagai pasukan Liga Super tetapi akan jatuh ‘rankingnya’ ke bawah bermula dari Liga FAM. Perlukah sesebuah pasukan dalam Liga M mempunyai sekurang-kurangnya RM15 juta untuk bermain?
Tiadakah alternatif lain bagi menyelamatkan pasukan-pasukan tersebut atau kerana masih terikat dengan pemain import mahal mahupun masalah gaji yang mencecah lima atau enam angka bagi mendapatkan pemain dianggap handalan dan berpotensi?
Disyorkan supaya TRW dan ‘The Red Giants’ menggunakan dana yang ada sahaja dan tidak perlu memberikan bermacam syarat untuk memartabatkan pasukan masing-masing.
Ikutlah kemampuan masing-masing, tidak semestinya perlu mengambil pemain import kerana pemain boleh dipilih daripada kalangan rakyat tempatan lebih-lebih lagi pemain jati dari negeri masing-masing.
Saya rasa ada pemain-pemain tempatan yang mampu buatkan kejutan kerana mereka bukan hanya memandang gaji lumayan asalkan dapat beraksi dan bangga menyarung jersi pasukan negeri asal mereka. Buatlah keputusan bijak dan jangan terlalu mendesak kerana peluang dan ruang itu masih ada. Masing-masing ada peminat, bukan sahaja ribuan tetapi jutaan peminat tegar yang masih setia menanti.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban, Negeri Sembilan

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/forum/jangan-hampakan-peminat-1.427792#sthash.2OxFjhZ2.dpuf

No comments:

Post a Comment