PASUKAN bekas pemain negara dan Korea Selatan sebelum perlawanan persahabatan di Seoul, baru-baru ini.
Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my
Melaka: Bekas pemain Malaysia berjaya menewaskan skuad legenda kelayakan Olimpik 1971 Korea Selatan 1-0 pada perlawanan persahabatan di Seoul baru-baru ini.
Skuad negara yang diketuai legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun berdepan saingan getir lawan yang turut dibarisi bekas pemain terbaik negara itu Kim Jae Han dan bekas kapten Kim Jung Nam.
Lebih menarik beberapa pemain yang pernah beraksi pada kelayakan Olimpik 1980 Korea Selatan yang berdepan skuad negara di Kuala Lumpur turut beraksi.
Gol tunggal kemenangan skuad negara dijaringkan Chin Aun sendiri menerusi gerakan menarik bagi memastikan kejayaan manis kunjungan pasukan legenda Malaysia ke negara itu.
Skuad bekas pemain negara turut diwakili Ho Hong Seong, Soh Chor Len dan Kamaruzaman Hasan.
“Apa yang penting kunjungan kami ke Korea bagi bertemu bekas rakan seperjuangan dalam bola sepak yang pernah menjadi lawan pada kelayakan Olimpik 1971 yang mana skuad negara layak ke Olimpik Munich 1972.
“Malah ia juga kesempatan terbaik buat kami bertemu beberapa pemain yang pernah berdepan Malaysia di kelayakan Olimpik 1980,” kata Chin Aun.
Menurutnya, apa yang dibanggakan walaupun ramai antara mereka berusia lebih 70 tahun namun masih tangkas dan memiliki kemahiran permainan yang masih baik.
Penjagaan kesihatan yang baik dalam kalangan mereka membolehkan pemain legenda itu mampu beraksi baik walaupun usia sudah meningkat.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 5:57 AM
No comments:
Post a Comment