Ghaddar masih berbisa
MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
28 JANUARI 2017
Ghaddar Ghaddar
MOHAMMED Ghaddar membuktikan dirinya masih berbisa apabila menjaringkan dua gol seterusnya membantu kemenangan Kelantan 3-1 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam.
Ghddar yang pernah menyarung jersi The Red Warriors pada 2012 dan 2014 itu memastikan kepulangannya ke bumi pantai timur itu berbaloi dengan jaringan pada minit ke-19 dan 21.
Pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail turut memuji persembahan dipamerkan penyerang kelahiran Lebanon itu yang disifatkannya masih tajam di hadapan gol.
“Saya lihat Ghaddar semakin matang berbanding pertama kali dia beraksi bersama kami. Jelas, dia beri segalanya untuk pasukan pada hari ini.
“Mungkin juga dia mampu sesuaikan diri kerana sudah biasa dengan suasana liga di Malaysia. Apa-apa pun saya puji ketajamannya dan pemain lain yang beraksi hari ini,” katanya.
Selain dua gol Ghaddar itu, Kapten Marvel, Mohd Badhri Radzi turut mencipta nama melalui sepakan percuma pada minit ke-48.
Jelas, kemenangan ini memberikan kelegaan buat The Red Warriors yang sebelum ini terpalit dengan isu penajaan di awal musim selain persiapan kurang rapi pasukan itu.
“Komitmen tinggi oleh semua pemain wajar dipuji dan hasilnya tiga mata untuk perlawanan pertama.
“Memang masih terlalu awal untuk melihat sebarang kemungkinan, tetapi kemenangan ini bakal menjadi semangat dan tonik berguna buat kami,” katanya.
Sementara itu, Pengendali PKNS, E Elavarasan nyata kecewa dan menyifatkan bahagian tengah dan pertahanan menjadi punca kepada kekalahan tersebut.
“Saya rasa permainan di tengah agak kurang berkesan dengan bola tidak sampai kepada penyerang.
“Manakala dua gol yang terhasil buat Kelantan pada separuh masa pertama berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan.
“Saya cukup kecewa, tetapi kita perlu menerima hakikat dan bersedia untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 28 JANUARI 2017
No comments:
Post a Comment