BARISAN pemain TRW memperagakan
jersi baru di Majlis Pengenalan Konsortium Penaja Al Hamra Dan Pelancaran Jersi
TRW 2017 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) Kota Bharu.
Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kelantan tidak
meletakkan sasaran memenangi sebarang piala musim ini, sebaliknya hanya mahu
terus kekal dalam Liga Super 2018.
Kenyataan itu diakui sendiri
Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berikutan
pasukan itu terpaksa melakukan persiapan saat akhir selepas berdepan pelbagai
kemelut.
Annuar berkata, beliau dan
pihak KAFA enggan berjanji untuk membawa pulang sebarang piala, sebaliknya,
mahu kekal dalam 10 kelompok pasukan terbaik Liga Super, musim depan.
Beliau bagaimanapun berkata,
Kelantan akan menjadi pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak negara, musim
depan apabila bakal membawa beberapa pemain ternama.
“Kami buat (musim ini) semuanya
‘last minute’ termasuk beli dua import dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas
dua import terawal disingkirkan.
“Apapun, kami akan bermain
tanpa sebarang tekanan dan itu memudahkan pemain untuk fokus terhadap
permainan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita pada sidang media sempena majlis Pelancaran Jersi The Red Warriors
(TRW) 2017 dan Pengenalan Konsortium Penaja Al Hamra di Dewan Konvensyen,
Kelantan Trade Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Pemangku Presiden
KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah; Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan
barisan jawatankuasa tertinggi KAFA termasuk kira-kira 1,000 penyokong setia
TRW.
Konsortium Al Hamra yang
ditubuhkan 14 Januari lalu disertai tujuh syarikat - Al Hamra, RedONE,
ChengalJati, E-Mutiara Konsortium Ekspres, MOCCIS Furniture, Skin Glow Glowing
dan Yakult (M) Sdn Bhd yang bersetuju menaja Kelantan kira-kira RM10 juta
termasuk RM3 juta bon jaminan.
Yakult yang terkenal dengan
minuman kultur diwakili sendiri Pengarah Urusan Hiroshi Hamada dan syarikat itu
menjadi penaja asing pertama menaja Kelantan.
Pelancaran jersi baru itu
diperagakan secara rasmi oleh pemain Kelantan dengan mengekalkan jersi
gelanggang sendiri dengan warna merah manakala di tempat lawan, biru dan oren.
Dalam perkembangan berkaitan,
Annuar mampu menarik nafas lega apabila dua import terbaharu, Mamadou Danso, 33
dari Gambia dan Alessandro Padovani Celin, 27 (Brazil) memperoleh Sijil
Perpindahan Antarabangsa (ITC) dari kelab masing-masing.
“Bekas pemain Kelantan, S
Subramaniam yang beraksi bersama Selangor musim lalu, turut mengesahkan untuk
menyarung jersi TRW.
“Setakat ini, kami berpuas hati
dengan keseluruhan senarai pemain dan berharap perlawanan sulung menentang
Melaka United FA, malam esok (hari ini) akan membawa tuah,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:00 AM
No comments:
Post a Comment