Ad

Saturday, 28 January 2017

Skuad Kelantan bermula garang

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
GHADDAR (tengah) menjaringkan dua gol ketika membantu Kelantan menewaskan PKNS 3-1 di Stadium Shah Alam semalam.

PENGENDALI Kelantan, Zahasmi Ismail ‘lulus’ dengan cemerlang pada perlawanan kompetitif pertamanya apabila menerajui pasukan tersebut mengutip tiga mata sulung penuh pada aksi Liga Super selepas menundukkan PKNS FC 3-1 di Stadium Shah Alam semalam.

Sebagai rekod, pasukan gergasi Pantai Timur itu terpaksa ‘berehat’ untuk memulakan kempen liga setelah aksi pertama menentang Melaka United yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mohamad ke IV, Kota Bharu, minggu lepas ditangguhkan akibat faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, situasi tersebut tidak menghalang Zahasmi dan anak-anak buahnya mempamerkan magis tersendiri untuk menundukkan pendatang baharu Liga Super itu di hadapan lebih 7,000 penonton di Shah Alam, semalam.

Menurut Zahasmi, dia mengakui terkejut dan teruja melihat barisan pemainnya mampu menunjukkan persembahan cemerlang dan meyakinkan untuk mengutip tiga mata penting di tempat lawan.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya yang sangat bekerja keras untuk mencatat kemenangan pertama kami musim ini. Ia bukan semudah yang disangka kerana PKNS FC merupakan pasukan yang cukup baik.

“Namun, kerjasama dalam kalangan pemain menjadi kunci kejayaan kami pada perlawanan petang ini (semalam). Selain itu, saya juga mahu memberi pujian kepada barisan serangan saya yang berjaya menjaringkan tiga gol,” kata Zahasmi ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Zahasmi bangga dengan prestasi tiga pemain import baharu skuad The Red Warriors iaitu Mamadou Danso, Margaro Gomis, Alessandro Celin selain bekas penyerang berbisanya, Mohamad Ghaddar yang meledak dua gol pada perlawanan tersebut.

“Meskipun mereka baharu sahaja bersama pasukan tidak sampai tiga minggu, kesemua pemain telah menunjukkan kualiti seperti yang diharapkan. Cuma, saya anggap persembahan ini belum sempurna dan banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Mengenai Ghaddar, saya anggap dia masih lagi memiliki penyudah berbisa seperti dahulu. Namun, saya tidak mahu memuji aksi individu kerana ini adalah kemenangan berpasukan dan saya mahu kejayaan ini menjadi motivasi untuk kami berusaha lebih keras selepas ini,” jelasnya lagi.

Selepas ini, Kelantan akan membuat perhitungan getir apabila melayan kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kota Bharu minggu depan
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4X1a7tYQW Hakcipta terpelihara




No comments:

Post a Comment