WARTAWAN SINAR HARIAN
8 FEBRUARI 2017
Mohd Yusoff, TMJ Khalid menganggap Mohd Yusoff (kiri) dan TMJ calon paling layak menerajui pucuk pimpinan tertinggi FAM.
AHLI gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran membuat keputusan bijak dan menolak nilai 'sentimental' sesetengah calon yang bertanding bagi merebut pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu.
Pengkritik bola sepak negara, Khalid Ali berkata, selain jawatan presiden, individu yang dipilih mengisi jawatan timbalan presiden juga perlu terdiri daripada muka baharu.
Pada masa sama, Khalid menyarankan timbalan presiden sedia ada, Datuk Seri Affandi Hamzah supaya bersikap 'gentleman' dengan menarik diri walaupun dicalonkan sekali lagi dalam kongres kali ke-53 persatuan itu, Mac ini.
Minggu lalu, Affandi dilapor sedia mempertimbangkan untuk mempertahankan jawatannya atau tidak dan berjanji akan memaklumkan pendiriannya dalam masa terdekat.
Dilaporkan sebelum ini calon bagi jawatan tersebut bakal menerima borang pengesahan pencalonan daripada Sekretariat FAM dan mereka perlu membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum 13 Februari depan.
Senarai akhir calon akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco FAM terlebih dahulu selepas diumumkan pada 20 Februari ini.
Calon-calon lain yang tersenarai untuk jawatan itu ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin; Naib Presiden FAM, Datuk Rozabil Abdul Rahman; bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
“Jawatan Timbalan Presiden FAM merupakan orang penting dan tulang belakang yang akan bantu presiden menggerakkan skuad kebangsaan ke peringkat tertinggi.
"Saya lihat hanya Mohd Yusoff ada kredibiliti dan Hamidin pula kita tidak boleh tolak tepi. Saya fikir dua individu ini memang sesuai mengisi jawatan timbalan presiden.
"Bagi jawatan presiden pula, saya tidak nampak orang lain selain TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Saya sudah katakan perkara ini berulang kali dan saya percaya TMJ dan Mohd Yusoff mampu membentuk gandingan mantap.
"Saya fikir mereka tidak ada masalah untuk bekerjasama. Itulah yang saya katakan, orang lama perlu berundur takut nanti, presiden orang baru tapi timbalan orang lama.
"Risau nanti FAM tetap sama, tiada perubahan timbul pula konflik lain," katanya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 8 FEBRUARI 2017
No comments:
Post a Comment