Ad

Thursday 9 February 2017

Lelaki cuba bakar diri di hadapan Kaabah

Gambar daripada klip video yang tersebar di laman sosial menunjukkan seorang lelaki (bulatan merah) ditahan jemaah dan polis di hadapan Kaabah.

DUBAI – Seorang lelaki cuba membakar diri dengan minyak petrol di hadapan Kaabah di Masjidil Haram, kota suci Mekah kelmarin tetapi gagal, kata polis Arab Saudi.

“Tindakannya menunjukkan dia mengalami sakit mental,” kata pasukan polis masjid itu dalam satu kenyataan, tanpa menyebut tindakan susulan bagi menangani insiden itu.

Menurut polis, lelaki itu berusia dalam lingkungan 40-an.

Klip rakaman video yang viral di laman sosial menunjukkan seorang lelaki dibawa meninggalkan Kaabah oleh sekumpulan jemaah dan pengawal keselamatan.

Agensi berita Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video itu.

Terdahulu, Bernama memetik laporan agensi berita Xinhua bahawa polis Arab Saudi telah menggagalkan cubaan lelaki itu untuk membakar Kaabah.

Xinhua memetik laporan itu daripada akhbar online, Sabq.

Seorang saksi memberitahu Sabq bahawa dia melihat lelaki itu menyimbah petrol pada kain hitam yang menutupi Kaabah dan segera memaklumkan perkara itu kepada polis.

Namun, pasukan keselamatan kemudian mengesahkan bahawa lelaki tempatan itu cuba membakar diri di hadapan Kaabah dan bukan membakar kiblat umat Islam itu. – Agensi

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4YBATXSCQ Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment