Rizar Mohd Noorsukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safiq Rahim (gambar) menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas kelab dari Kemboja Beoungket Angkor FC pada aksi Kumpulan F Piala AFC malam kelmarin sebagai satu permulaan baik.
Malah katanya, kemenangan itu memberi kesan positif buat setiap pemain yang mengimpikan untuk beraksi lebih mantap pada semua perlawanan tanpa mengira apa saja pertandingan.
“Permulaan yang baik untuk edisi musim ini, saya harap kita dapat kekalkan momentum kemenangan tidak kira sama ada dalam saingan Piala AFC mahupun Liga Super.
“Kita akan kekalkan semangat juang positif untuk mendapat keputusan yang baik kerana ia adalah keutamaan bagi Johor DT dan tidak boleh lagi keciciran mata.
“Mengenai perubahan taktikal yang dilakukan jurulatih (Benjamin Mora), saya sebagai pemain hanya mengikut arahan yang diberikan dan berusaha sebaik mungkin. Setiap pemain harus mengikut perancangan jurulatih kerana ia penting bagi membentuk corak permainan yang konsisten,” katanya.
Safiq juga menganggap setiap pemain yang diberikan peluang beraksi perlu menunjukkan komitmen tinggi di dalam padang dan ia terbukti apabila berjaya menewaskan kelab dari Kemboja itu.
Sementara itu, Mora menganggap gandingan Safiq, Nazmi Faiz Mansor dan Mohd Afiq Fazail sebagai berjaya dan tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga pemain itu akan terus bersama pada aksi selepas ini.
Beliau berkata, Afiq ditugaskan selaku pemain tengah bertahan sambil Nazmi Faiz menjana gerakan dan ia memberi kebebasan untuk Safiq bertindak membantu barisan serangan.
“Apa yang boleh saya katakan, setiap pemain bermula dari penjaga gol, pertahanan, tengah dan serangan memainkan peranan masing-masing dan mereka mengikut perancangan taktikal yang dibentuk.
“Kini kami perlu mengalih tumpuan untuk saingan liga apabila menerima kunjungan T-Team, Sabtu ini dan tempoh singkat membuat persediaan harus digunakan sepenuhnya bagi membentuk barisan mantap,” kata Mora.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:58 AM
No comments:
Post a Comment