M JEFFRI RAZALI
24 FEBRUARI 2017
MU perlu teruskan momentum kemenangan Melaka United ditagih teruskan momentum kemenangan dalam pertemuan dengan Pahang malam minggu ini
MELAKA United perlu meneruskan momentum tiga kemenangan berturut-turut dalam usaha memastikan mereka dapat bersaing dengan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat malam esok (Sabtu).
Malahan, pertemuan berkenaan yang dianggap sebagai yang paling mencabar setakat ini adalah penting dalam memastikan misi skuad Hang Tuah untuk terus mendaki kedudukan liga tidak terbantut.
Turun selepas mencatatkan kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di gelanggang lawan serta menewaskan PKNS FC dalam saingan Piala FA semestinya diharapkan dapat menyuntik semangat baharu kepada pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Eric Williams, ini.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Seri Idris Haron, kemenangan Melaka United dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini perlu dijadikan sebagai pendorong untuk mereka menyaingi pasukan Tok Gajah.
Menurutnya, kemampuan menewaskan The Red Warrior 2-0 di hadapan lebih 10,000 penyokong mereka di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu jelas membuktikan keupayaan Melaka United bersaing dengan pasukan yang lebih ternama.
"Saya percaya kemenangan ke atas Sarawak telah memberi keyakinan kepada pemain untuk memberikan yang terbaik ketika menentang Kelantan.
"Sekarang mereka perlu pula menjadikan kemenangan itu semua sebagai azimat dan pembakar semangat untuk berhadapan Pahang," katanya.
Melaka United kini menghuni tangga ketujuh liga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan dua kalah manakala Pahang menduduki tempat kedua liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan satu kalah.
Sumber-sinar harian online 24 FEBRUARI 2017
No comments:
Post a Comment