Ad

Saturday, 18 February 2017

Negeri Sembilan tewaskan Terengganu 3-2

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
17 FEBRUARI 2017
 Negeri Sembilan tewaskan Terengganu 3-2
Negeri Sembilan tewaskan Terengganu 3-2 Mohammad Faizal Abu Bakar (bawah) bersaing dengan Issey Nakajima (atas) untuk mendapatkan bola. - Foto Hafis Abd Aziz (gawang.my)
NEGERI Sembilan mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri apabila menundukkan Terengganu dengan jaringan 3-2, sebentar tadi.

Beraksi di depan ribuan penyokong sendiri, Skuad Hoben Jang Hoben bermula garang apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23.

Penyerang import berdarah kacukan Brazil Jepun, Bruno Suzuki menanduk masuk bola hantaran lintang Mohammad Faizal Abu Bakar untuk meletakkan tuan rumah di depan.


Berselang empat minit kemudian, giliran Marko Simic memahat nama sebagai penjaring juga menerusi tandukan yang berpunca daripada sepakan percuma Andrew Tuck.

Lebih manis, gol itu merupakan jaringan pertama bagi penyerang berkenaan selepas menempuh empat perlawanan tanpa sebarang hasil.

Muhammad Izuan Mohd Salahuddin menambah derita Terengganu apabila menjaringkan gol ketiga Skuad Jang pada minit ke-74.

Tolakan kaki kanannya di near post sebelah kanan hanya mampu diperhatikan Amierul Hakimi Awang yang mengawal pintu gawang.

Sebelum itu pada minit ke-17, Andrew Tuck hampir memecah kebuntuan tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.

Minit ke-30 pula menyaksikan rembatan Khairul Anwar Shahrudin ditepis keluar penjaga gol lawan.

Memasuki babak kedua, Sang Penyu mula kembali mengatur gerak dan berhasil merapatkan jurang kedudukan melalui kapten pasukan, Abdul Latiff Suhaimi.

Rembatan dilepaskan pada minit ke-53 tertampan pertahanan tuan rumah, sebelum menerjah jaring.

Issey Nakajima menambah gol untuk Terengganu apabila sepakan leretnya dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan kini menerajui persada Liga Perdana 2017 dengan mengumpul 12 mata.

Sumber-sinar Harian online 17 FEBRUARI 2017

No comments:

Post a Comment