25 Februari 2017 11:09 PM
KOTA BHARU 25 Feb. – Kelantan terus dirundung malang apabila tewas 2-0 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini sebentar tadi.
PEMAIN Kelantan, Muhamad Shahrul Hakim (kanan) diasak oleh pemain Selangor, Muhd. Syahmi Safari dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi. Selangor menang 2-0. -BERNAMA
Keputusan tersebut menyaksikan skuad The Red Warriors tewas di gelanggang sendiri untuk kali ketiga berturut-turut selepas dimalukan Kedah dan Melaka sebelum ini.
Selangor bermula garang apa mendahului Kelantan seawal minit keempat hasil jaringan Juliano Fernandes yang menyepak masuk selepas percubaan Victor Stelian Astafei gagal ditampan kemas penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Pelawat terus mengasak dan hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-29 tetapi rembatan deras pemain gantian Adam Nor Azlin di dalam kotak penalti ditepis keluar Khairul Fahmi.
Kerapuhan jentera pertahanan Kelantan membuka ruang kepada Selangor terus mengasak namun ketangkasan Khairul Fahmi di benteng berjaya menyelamatkan beberapa percubaan Selangor.
Selepas rehat, Fernandes menambah derita Kelantan apabila menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-62 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang sama sekali sukar ditepis Khairul Fahmi. – UTUSAN ONLINE 25.2.2017
No comments:
Post a Comment