Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
SAFEE (tengah) menjaringkan satu gol ketika membantu PKNS menewaskan Perak 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.
PASUKAN berstatus kelab, PKNS FC meleburkan rekod tanpa kalah Perak pada saingan Liga Super musim ini apabila meraih kemenangan 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam.
Ia pencapaian yang amat bermakna buat skuad kendalian E. Elavarasan itu selepas membelasah Selangor 5-3 di gelanggang yang sama minggu lalu.
Bagi Elavarasan, kegagalan pasukan Perak menyempurnakan sepakan penalti telah menghadiahkan kemenangan kedua buat mereka musim ini, sekali gus mengakhiri rekod tanpa kalah Perak.
Pada perlawanan semalam, dua gol daripada penyerang import, Lucas Espindola dan satu gol disumbangkan oleh Mohd. Safee Sali sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah yang dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Premier 2016 lalu.
Namun, Elavarasan percaya kecemerlangan yang dipamerkan oleh penjaga gol utamanya, Mohd. Zamir Selamat menggagalkan sepakan penalti pemain Perak, Vladislav Mirchev telah menjadi punca utama mereka berupaya mencatat kemenangan meskipun ketika itu mendahului saingan dengan kedudukan 2-0.
“Penalti tersebut adalah detik paling penting perlawanan hari ini (semalam). Andai Perak berjaya merapatkan kedudukan menjadi 2-1, mereka mungkin boleh mencuri satu mata atau mencatat kemenangan memandangkan saingan masih lagi berbaki 30 minit.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain saya khususnya Lucas (Espindola) yang berjaya membuktikan kehebatannya menjaringkan dua gol penting buat pasukan kami.
“Jika sebelum ini Patrick (Ronaldinho) lebih menyerlah dan mungkin hari ini (semalam) adalah peluang Lucas untuk mencatat nama sebagai penjaring. Dia sentiasa bekerja keras pada setiap sesi latihan dan ini adalah perkembangan positif buat barisan serangan kami,” kata Elavarasan selepas perlawanan tersebut yang turut memuji peningkatan Safee dan Zamir yang dilihat cukup cemerlang sejak berhijrah ke PKNS FC musim ini.
Selepas mengharungi empat perlawanan, PKNS kini sudah mengumpul enam mata menerusi dua kemenangan dan tewas dua kali, manakala Perak mengumpul tujuh mata menerusi dua kemenangan, satu seri dan tewas sekali
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4YTLFAk4T Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment