Ad

Thursday, 16 February 2017

Kedah tak boleh leka

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
 
PEMAIN Kedah, Mohd. Rizal Ghazali (depan) cuba melepasi kawalan pemain Kuala Lumpur pada aksi pusingan kedua kempen Piala FA 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin. Kedah menang 4-2.

BARISAN pemain Kedah diingatkan jangan mudah leka, sebaliknya terus bekerja keras untuk mengatasi segala kelemahan yang ada.

Demikian tegas pengendali skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe selepas menyaksikan anak-anak buahnya menewaskan Kuala Lumpur 4-2 pada pusingan kedua kempen Piala FA 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin, sekali gus layak ke pusingan ketiga.

Menurut Cheng Hoe, para pemain tidak boleh berasa selesa, sebaliknya terus berusaha untuk me­ningkatkan prestasi masing-masing.

Pada aksi menentang Kuala Lumpur itu, barisan pemain Kedah telah memperagakan rentak permainan yang menakjubkan sehingga berjaya menghasilkan empat gol.

“Namun, atas kelekaan bahagian pertahanan, kita dibolosi dua gol oleh pasukan lawan,” kata Cheng Hoe ketika ditemui selepas aksi menentang Kuala Lumpur itu malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Kedah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import, Liridon Krasniqi pada m-32 disusuli tiga gol disumbangkan Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-35, ke-42 dan ke-62.

Kuala Lumpur pula memperoleh gol mereka menerusi jari­ngan sendiri pemain import Kedah, Zachary Michael Anderson pada mi­nit ke-75 selepas berlaku salah faham dengan penjaga gol­nya, Abd. Hadi Abd Hamid, diikuti gol kedua oleh Ibrahim Syaihul.

Jelas Cheng Hoe, para pemain perlu belajar daripada setiap perlawanan yang dilalui selain meningkatkan fokus kepada permainan.

“Kalau diikutkan, kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua, namun ia tidak dapat disempurnakan dengan baik, jadi kita perlu lebih bersedia dan fokus ketika berada di depan pintu gol pasukan lawan,” ujarnya.

Cheng Hoe bagaimanapun memuji prestasi pemain muda, Muhammad Farhan yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menyumbang tiga gol buat Kedah.

“Farhan mempunyai momentum dan keyakinan yang cukup baik selepas berjaya menjaringkan gol semasa menentang Pahang pada aksi Liga Super minggu lalu,” katanya.

Mengenai pertemuan Kedah dengan Kelantan pada aksi Liga Super, Sabtu ini, Cheng Hoe menjelaskan bahawa semua pemain Kedah perlu bersiap-sedia kerana Kelantan sudah pasti memberi tentangan hebat berdasarkan prestasi yang mereka pamerkan dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Walaupun Kelantan berdepan dengan pelbagai krisis dalaman pada awal musim ini, namun mereka berjaya meraih kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini, jadi kami perlu sentiasa bersedia,” tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4YrRCJpF5 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment