PASUKAN Johor DT cipta sejarah baru bola sepak negara.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) layak ke saingan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) disifatkan sebagai bukan bergantung kepada nasib sebaliknya ia berlaku hasil kegigihan pengurusan, kejurulatihan dan pemain.
Transformasi yang dilakukan sejak empat tahun lalu selain kegagalan melepasi kempen kelayakan pusingan kedua ACL sepanjang dua edisi lalu bagaikan memberi motivasi buat kelab yang dimiliki Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk sentiasa melakukan pembaharuan.
Kelmarin, Johor DT melangkah ke pusingan memburu slot ke saingan peringkat kumpulan ACL apabila menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan Bangkok United FC pada aksi sebenar di Stadium Thammasat, Pathum Thani.
Tunku Ismail yang gembira dengan pencapaian barisan bimbingan Benjamin Mora itu pantas mengucapkan tahniah kepada pemain dan barisan kejurulatihan Johor DT.
“Ia adalah satu kebanggaan dan penghormatan apabila sudah berada di pusingan kelayakan ACL dan kejayaan layak ke pusingan penentuan ACL adalah satu sejarah buat kami.
“Johor DT adalah kelab pertama tanah air yang bersaing di pusingan kelayakan ACL buat kali ketiga berturut-turut dan juga kelab pertama yang berjaya melangkah ke pusingan penentuan ACL. Sejarah demi sejarah dicipta dan ia amat membanggakan,” kata Tunku Ismail menerusi kenyataan rasmi di dalam JOHOR Southern Tigers.
Pada aksi yang cukup mendebarkan itu, Johor DT terlebih dulu mencipta jaringan menerusi tandukan kapten Safiq Rahim yang menerima umpanan Jeronimo Barreles pada minit ke-108.
Namun, empat minit kemudian, Johor DT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Barreles dilayangkan kad merah dan kesempatan itu diambil Jaycee Okwunwanne untuk menyamakan jaringan pada minit akhir babak kedua masa tambahan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Penjaga gol Johor DT Farizal Marlias muncul wira pasukan apabila berjaya menepis dua sepakan penalti skuad bimbingan Alexandre Polking bagi memastikan juara Piala AFC 2015 itu mara ke pusingan play-off.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:48 AM
No comments:
Post a Comment