Gambar Tunku Ismail Sultan
Ibrahim bersalam dengan Mat Tere di IPK Johor, Johor Bahru, semalam dimuat naik
dalam Facebook Johor Southern Tigers.
13 Februari 2017 12:33 AM
JOHOR BAHRU 12 Feb. – Polis
Johor yang membebaskan Mat Tere hari ini kerana menghina Tunku Mahkota Johor
mendakwa suspek dipergunakan pihak tertentu untuk berbuat demikian.
Ketua Polis Johor, Datuk Seri
Wan Ahmad Najmuddin Mohd. mendakwa Mat Tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul
Apis Baharum, 29, menjadi alat untuk mewujudkan suasana tidak harmoni dalam
kalangan masyarakat.
“Tunku Mahkota Johor, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim juga bertitah agar pihak polis menggunakan budi bicara
untuk tidak meneruskan siasatan terhadap kes ini memandangkan tidak mahu kes
ini dipanjangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Mat Tere ditahan
oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Kelantan untuk membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tunku
Ismail yang menjadi tular di Facebook awal minggu lalu.
Sementara itu, menerusi entri
terbaharu dalam Facebook Johor Southern Tigers (JST), Tunku Ismail hadir ke IPK
Johor hari ini untuk bertemu dan memuatkan beberapa gambar beliau bersalaman
dengan Mat Tere selain memohonnya dibebaskan daripada tempoh reman.
JST memaklumkan bahawa Tunku
Ismail percaya Mat Tere tidak bersalah dan digunakan pihak tertentu yang
mempunyai agenda politik.
Menurut laman sosial JST lagi,
Mat Tere yang sepatutnya dilanjutkan tahanan reman dibebaskan dan akan dihantar
pulang ke negeri kelahirannya di Kelantan.
Tunku Ismail mengucapkan
tahniah kepada kerajaan Kelantan kerana menjaga rakyat mereka dengan baik dan
menasihatkan supaya berjaga-jaga dengan individu yang mempunyai niat untuk
memecahbelahkan rakyat.
Sumber-Utusan Malaysia 13
Februari 2017 12:33 AM
No comments:
Post a Comment