Ad

Thursday 9 January 2020

3 calon kapten pilihan Shukor

Selasa, 17 March 2015 | 12:10am
3 calon kapten pilihan Shukor
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
             
KUALA LUMPUR: Perdebatan makin panas mengenai isu siapa layak memakai lilitan lengan selaku kapten baharu skuad Harimau Malaya.

Shukor Adan yang sudah pun mengumumkan persaraan selepas Piala AFF Suzuki 2014 tampil bersuara dia bercadang ada tiga calon mampu mengisi tempatnya mengetuai rakan sepasukan.

Apa yang pasti ketua jurulatih, Dollah Salleh harus memilih sebelum perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Oman di Stadium Seeb, 26 Mac ini.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula, petang esok.

Shukor menilai tiga calon itu berpandu kepada kemampuan serta karakter mereka baik dalam padang mahu pun di luar.

Trio calon itu adalah dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, 28, dan Amri Yahyah, 34, serta rakan sepasukannya di FELDA United, Indra Putra Mahayuddin, 34.

Namun Shukor berkata, Safiq yang pernah menjadi kapten Harimau Malaya dari 2010 hingga 2013 ketika di bawah jurulatih Datuk K Rajagobal, termasuk menjulang Piala Suzuki AFF 2010 adalah calon utama untuk menggantikannya.

"Saya rasa ramai yang boleh jadi kapten. Masing-masing ada karakter dan wataknya. Saya rasa tidak jadi masalah kerana ada empat hingga pemain senior yang masih boleh beraksi dan menjadi kapten.


PEMAIN Harimau Malaya, Amri Yahyah. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
"Kalau saya rasa yang layak, mungkin Safiq calon utama bagi saya. Sebelum ini dia pernah jadi kapten dan tahun ini kita dapat lihat Safiq beraksi amat baik selepas Piala Suzuki AFF 2014.

"Dia dalam proses mendaki dan membantu JDT apabila beraksi dengan cemerlang. Lepas apa yang kita lihat, calon utama ialah Safiq. Tapi terpulang kepada jurulatih (Dollah) yang lebih berhak.

"Amri dan Indra juga layak jadi kapten. Tapi kalau kita lihat, nampak cenderung kepada Safiq kerana di peringkat kelab dan antarabangsa, dia memiliki karakter," kata Shukor kepada BH Online, semalam.

Shukor, 36, yang kini beraksi dalam Liga Super bersama FELDA United mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa selepas aksi final kedua bertemu Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 20 Disember lalu.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula, petang esok dan sesuatu akan isu mengenai kapten baharu bakal diketahui.

Shukor turut mencabar muka-muka baharu yang dipanggil Dollah kali ini, antaranya dua pemain muda dari skuad Liga Perdana JDT II, Akram Mahinan, 22, dan Che Rashid Che Halim, 21, serta pemain sayap FELDA United, Ahmad Syamim Yahya, 25, yang pertama kali tersenarai dapat menunjukkan sesuatu.


PEMAIN Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin. - Foto Effendy Abd Rashid
"Mungkin Dollah tak panggil beberapa muka lama kerana nak beri peluang kepada muka-muka baharu ini. Yang tak terpilih seperti Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Hafiz Kamal dan Badhri Radzi sebenarnya masih dalam perancangan Dollah.

"Cuma ini untuk satu perlawanan saja bertemu Oman. Jadi muka-muka baharu harus menunjukkan kepada Dollah yang keputusan jurulatih itu menyenaraikan mereka adalah tepat.

"Peluang sudah diberi. Jangan nanti apabila gunakan pemain yang sama saja, orang akan pertikai Dollah tak beri peluang kepada pemain-pemain generasi baharu ini," tegas Shukor.

Selain itu, turut kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah S Chanturu dan Junior Eldstal (JDT), Ahmad Hazwan Bakri (Selangor) dan Joseph Kalang Tie (Sarawak) sambil Dollah hanya mengekalkan 13 pemain dari skuad Piala Suzuki AFF 2014 untuk senarai 20 pelatihnya kali ini.


KAPTEN pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
"Sesuatu yang positif saya hormati Dollah, dia akan melihat semua perlawanan walaupun Liga Perdana. Jadi apa yang kita lihat, Dollah nampak pemain yang berkualiti.

"Sebab itu dia beri peluang kepada Syamim untuk membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa. Jika lihat prestasinya kebelakangan ini bersama FELDA United, memang dia berhak dipanggil. Sebagai rakan sepasukan, saya rasa bangga," jelas Shukor.

INFO
Profil tiga calon kapten Harimau Malaya

SAFIQ RAHIM
Umur: 28 tahun
Tarikh lahir: 5 Julai 1987
Tempat lahir: Seremban, Negeri Sembilan
>Posisi: Tengah
>Pasukan semasa: JDT
Pasukan pernah diwakili: Selangor, KL PLUS

AMRI YAHYAH
Umur: 34 tahun
Tarikh lahir: 21 Januari 1981
Tempat lahir: Tanjung Karang, Selangor
Posisi: Penyerang/sayap/tengah

Pasukan semasa: JDT
Pasukan pernah diwakili: Selangor

INDRA PUTRA MAHAYUDDIN
>Umur: 34 tahun
Tarikh lahir: 2 September 1981
Tempat lahir: Ipoh, Perak
Posisi: Penyerang/sayap
Pasukan semasa: FELDA United
Pasukan pernah diwakili: Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/node/41453

No comments:

Post a Comment