BERNAMA | | 1 Januari 2020
Para pemain Melaka United giat
menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan Liga Super 2020. -
Foto: Melaka United Soccer Association
PERSATUAN Bola Sepak Melaka
United (MUSA) mensasarkan untuk menduduki empat kedudukan teratas Liga Super
serta merangkul piala musim ini, kata Presidennya, Damien Yeo Shen Li.
Katanya, dalam usaha mencapai
sasaran itu, pengurusan MUSA telahpun mengambil tindakan proaktif dengan
membentuk sebuah pasukan yang mereka rasakan kuat dengan gandingan pemain
berpengalaman dan pemain baharu yang merupakan pemain bola sepak masa hadapan
negeri.
“Walaupun dengan sumber kewangan
yang ada, MUSA percaya pasukan yang telah dibina mempunyai semangat melawan
yang kuat pada musim yang akan datang. Tidak ada apa yang mustahil untuk
dicapai, maka MUSA percaya Melaka United, akan mampu berhadapan dengan pasukan
terbaik dunia pada masa hadapan.
“Saya berhasrat untuk mengambil
tanggungjawab ini, untuk mencapai sasaran dalam menjadikan Melaka United
sebagai satu jenama yang dikenali di seluruh dunia,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Melaka United yang di bawah
kendalian legenda bola sepak negara Zainal Abidin Hassan, menamatkan saingan
Liga Super musim lepas di tempat keenam dan mendahului Kumpulan D dalam Piala
Malaysia, sebelum tewas kepada Pahang dengan agregat 1-6 pada peringkat suku
akhir.
Damien Yeo berkata, beliau
menyedari impian penyokong pasukan Hang Tuah itu, untuk melihat pasukan mereka
bermain di Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir dan dengan kerja keras,
mereka percaya yang Melaka United bukan sahaja layak di Bukit Jalil, tetapi
juga di stadium di luar negara, berhadapan pasukan terbaik dunia.
“Tidak salah untuk kami mempunyai
impian yang mungkin mustahil untuk kami capai. Bagaimanapun, kita mesti
sentiasa positif untuk membuat impian menjadi kenyataan,” katanya.
Bercakap mengenai memperhebatkan
lagi kelab, beliau berkata, pengurusan pasukan juga bercadang untuk mendapatkan
hak ke atas Stadium Hang Jebat, supaya ia boleh dimiliki oleh MUSA dan kekal
sebagai stadium tuan rumah Melaka United.
Katanya, MUSA juga mahu
memastikan penerusan pembangunan bola sepak di Melaka dan percaya pembangunan
akar umbi merupakan satu cara bagi memastikan pasukan terus kompetitif dan
kekal wujud sebagai sebuah pasukan.
“Atas sebab itu, adalah satu
hasrat pengurusan MUSA di bawah kepimpinan saya untuk menubuhkan Akademi Bola
Sepak Melaka United, dengan slogan #Mission04, yang akan membawa bakat muda ke
tengah selain memberikan peluang kepada anak Melaka peluang bermain bola
sepak,” katanya.
Damien Yeo berkata, peminat juga
boleh melihat pengurusan MUSA melaksanakan beberapa inisiatif yang akan
menjanakan sumber kewangan, supaya pengurusan MUSA akan dapat bergerak dengan
lebih baik dan MUSA perlu berfikir luar dari kebiasaan bagi mendapatkan idea
baharu, yang akan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua penyokong dan
persatuan.
“Sebab itulah pengurusan baharu
ini kini secara aktif mempromosikan pas bermusim dengan pelbagai kelebihan
untuk penyokongnya, jualan secara dalam talian dan memperkenalkan sektor sukan
pelancongan yang saya percaya akan memastikan sebuah pentadbiran yang lebih
baik pada 2020,” katanya. – Bernama.[i]
No comments:
Post a Comment