MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD kebangsaan Emiriah Arab
Bersatu (UAE) dilihat cukup terdesak menjelang pertemuan menentang Malaysia
dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium
Al Maktoum, Dubai, 26 Mac ini.
UAE yang kini menduduki tangga
keempat daripada lima pasukan dalam Kumpulan G dengan enam mata terpaksa
'mengimport' tiga penyerang baharu dari Amerika Latin bagi menguatkan jentera
serangan pasukan itu.
Kredibiliti trio naturalisasi
baharu negara teluk itu sememangnya cukup gah terutama Sebastian Lucas Taglibue
yang kini muncul antara penyerang terbaik Liga Pro UAE apabila tonggak dari
Argentina itu sudah merekodkan 146 gol sepanjang tujuh musim bersama kelab
Al-Wahda.
Malah, ketajaman dua lagi ayam
tambatan dari Brazil iaitu Caio Canedo Correa yang beraksi buat Al-Ain FC dan
Fabio Virginio de Lima bersama Al-Wasl FC bakal memberi igauan ngeri buat skuad
Harimau Malaya apabila bertandang ke Dubai nanti.
Pengendali negara, Tan Cheng Hoe
yang dihubungi Arena Metro mengakui sudah merasai bahang aksi itu meskipun ia
hanya akan berlangsung 58 hari lagi.
Menurut jurulatih yang berasal
dari Kedah itu, beliau serta barisan kejurulatihan sudah melakukan 'kerja
rumah' awal dengan menganalisis dan memantau aksi ketiga-tiga pemain
naturalisasi itu ketika ini.
"Kita tahu sekarang ini UAE
berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan kemenangan sebab itu mereka
ambil tiga pemain naturalisasi. Memang kita dah tengok dalam liga itu (Liga Pro
UAE) ketiga-tiganya ada kekuatan mereka di bahagian serangan. Jadi memang
(kehadiran) mereka ini memang memberi banyak kelebihan dan kekuatan dan juga
keyakinan kepada pasukan UAE,” katanya.
"Apapun, kita tetap ada
persiapan terbaik dan akan gunakan sebaiknya tempoh masa yang ada sebelum
berdepan UAE," katanya yang akan menempuh aksi persahabatan menentang
Bahrain pada 21 Mac di Stadium Khalifa Sports City, di Bahrain.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 28 January 2020 @ 10:41 PM
No comments:
Post a Comment