MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
AKSI sulung juara enam kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam siri jelajah pra musim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berakhir dengan kekalahan kepada juara Liga Latvia, FC Riga.
Skuad Harimau Selatan tewas 0-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium The Seven semalam, sekali gus memberi gambaran tentang kelemahan yang perlu diatasi oleh pengendali pasukan, Benjamin Mora selepas ini.
Pada aksi itu, JDT membariskan kesebelasan terbaik yang diketuai ketua pasukan, Hariss Harun serta ayam tambatan dari Brazil, Diogo Luis Santo dan beberapa pemain tempatan seperti Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor dan Farizal Marlias.
Walaupun beraksi baik, FC Riga yang pernah membuat kemunculan di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tampak berada pada kelas tersendiri apabila menguasai penuh perlawanan berkenaan.
Roman Debelko menjaringkan gol pada minit ke-35 dan Felipe Brisola melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Mihails Koņevs itu dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-88.
JDT yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat musim kedua berturut-turut, akan meneruskan aksi pra musim berdepan kelab UAE, Dibra Al Fujairah Khamis ini diikuti skuad kebangsaan Turkmenistan (26 Januari), kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC (30 Januari).
Untuk rekod, dalam kempen ACL kali ini JDT diundi dalam Kumpulan G dan akan bertemu Vissel Kobe dari Jepun pada 12 Fabruari ini di Stadium Misaki Park, Kobe.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:44 PM
No comments:
Post a Comment