WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR |
| 20 Januari 2020
sidang media perlawanan Kelayakan
ACL 2020 Kedah bertemu Tai Po FC
Dari kanan: Aidil, Kpah, Luis dan
Davor selepas sidang media perlawanan Kelayakan ACL 2020 Kedah bertemu Tai Po
FC di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR - Aura Darul Aman
menjadi senjata ampuh Kedah apabila melayan kunjungan kelab Hong Kong, Tai Po
FC pada aksi sulung Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 malam esok.
Ketua Jurulatih Kedah, Aidil
Sharin Sahak berkata, skuad Lang Merah harus memanfaatkan kelebihan beraksi di
laman sendiri bagi menghadiahkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
"Kekuatan kami adalah
semangat berpasukan. Tempoh bersama sepanjang pramusim ini diharapkan mampu
menghasilkan sesuatu.
"Perkara itu akan
ditunjukkan oleh pemain-pemain sepanjang 90 minit perlawanan nanti. Apa yang
saya boleh janjikan adalah anak-anak buah saya akan memberikan aksi terbaik
pada perlawanan ini.
"Perlawanan ini adalah
peluang untuk pemain-pemain saya mendapatkan kepercayaan penyokong di laman
sendiri. Saya mengharapkan keputusan yang baik pada perlawanan pertama kami
pada musim ini," katanya pada sidang media di sebuah hotel di Alor Setar
hari ini.
Bagaimanapun, Aidil Sharin
berkata, beliau tidak dapat menggunakan khidmat dua tonggak pertahanan kental,
Shakir Hamzah dan Azmeer Yusof.
"Shakir akan menjalani penggantungan
perlawanan kerana menerima kad merah dalam aksi terakhirnya bersama Home United
pada saingan separuh akhir Piala AFC 2018. Azmeer pula masih belum cergas
daripada masalah kecederaan.
"Disebabkan itu, saya telah
menurunkan Irfan (Zakaria), Alif (Yusof), Zulkhairi (Zulkeply) dan Loqman
(Hakim) di Kemboja baru-baru ini. Jadi kami akan bermain dengan barisan pemain
yang ada," jelasnya.
Bagi penyerang baharu Kedah, Kpah
Sherman, dia sudah tidak sabar memperagakan aksi terbaik di hadapan ribuan
penyokong Lang Merah nanti.
"Saya sudah semakin mendapat
keserasian dengan rakan-rakan sepasukan. Saya harap dapat membantu pasukan
mencipta kemenangan pertama di gelanggang sendiri," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih
Tai Po FC, Davor Berber berkata, pasukannya akan memberikan aksi 200 peratus
dalam usaha mereka untuk mara ke saingan playoff.
"Kami telah melakukan
persiapan rapi untuk aksi kelayakan bertemu Kedah. Sudah tentu kami mahu
memburu kemenangan untuk meneruskan kemaraan pada saingan kelayakan ACL kali
ini," katanya.
Ketua pasukan Tai Po FC, Luis
Eduardo pula mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukannya berazam mencipta
kejutan ke atas Kedah yang dianggapnya mempunyai kelebihan beraksi di
gelanggang sendiri.
"Apa yang kami tahu, Kedah
merupakan antara pasukan yang kuat di Malaysia. Bagaimanapun, kami tetap
bersemangat memburu kemenangan mutlak ke atas Kedah," ujarnya.
Pemenang perlawanan esok bakal
membuat perhitungan dengan kelab FC Seoul pada aksi playoff yang dijadualkan
berlangsung di Korea Selatan pada 28 Januari ini.[i]
No comments:
Post a Comment