Ad

Friday, 3 January 2020

Nor Azam tak ‘merajuk’

Simpan Artikel
MyMetroNode    
 
Oleh Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Gagal mendapat tempat di dalam kesebelasan utama sepanjang lima perlawanan Liga Super sebelum ini tidak sedikitpun mematahkan semangat dan keyakinan pemain muda Tok Gajah Mohd Nor Azam Azih untuk terus memburu posisi tengah yang pernah digalasnya sebelum ini.

“Saya menghormati keputusan jurulatih Zainal Abidin Hassan yang mempunyai percaturan terbaik bagi memastikan setiap perlawanan terus berpihak kepada Pahang yang kini dalam misi menjulang Liga Super musim ini.

“Mungkin saya kurang berkesan mengemudi bahagian tengah berbanding Hafiz Kamal, Azidan Sarudin dan Zesh Rehman yang kini dilihat begitu serasi dan berkesan membentuk gandingan mantap dengan jentera serangan.

“Saya tidak kecewa dan berkecil hati walaupun tidak diturunkan pada lima perlawanan sebelum ini.

“Malah, sepanjang berada di kerusi simpanan menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha gigih memburu tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Nor Azam yang sebelum ini membawa cabaran skuad Harimau Muda B berkata, prestasi Tok Gajah yang kini mendahului kedudukan carta Liga Super menambahkan lagi keinginannya untuk berada dalam kesebelasan utama pada baki perlawanan.

Katanya, jika boleh dia ingin merasa kepuasan membantu Tok Gajah mencatat kemenangan pada setiap perlawanan seterusnya.

Menurut pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Maran itu, selepas gagal pada saingan Piala FA, peluang Tok Gajah merangkul piala Liga Super musim ini kini semakin hampir selepas mencatat keputusan membanggakan pada setiap perlawanan.

“Saya berharap musim pertama bersama skuad Tok Gajah kali ini berakhir dengan kenangan manis sebagai pemain yang menjadi pencetus kepada kejayaan merangkul Liga Super, seterusnya Piala Malaysia hujung musim ini.

“Saya menaruh harapan tinggi untuk beraksi pada perlawanan selepas ini... saya akan berusaha memperkemaskan lagi hantaran dan percubaan ke kubu lawan selain tendangan percuma yang mampu menghasilkan gol.

“Mungkin dengan cara itu akan dapat memikat hati jurulatih (Zainal Abidin) yang sentiasa berusaha menyusun strategi menjinakkan lawan dalam usaha mengekalkan kedudukan teratas Liga Super,” katanya.

Sebagai pendahulu Liga Super, Pahang kini memungut 33 mata meninggalkan Johor Darul Ta[zim (31) dan Perak (27). Skuad Tok Gajah akan berdepan pasukan bertaraf kelab Sime Darby FC di gelanggang lawan pada 1 Ogos ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:30 AM



No comments:

Post a Comment