MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 6 Januari 2020
BEBERAPA pengendali pasukan tidak menganggap jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang berlangsung pada bulan Ramadan sebagai satu isu yang harus diperbesarkan dan meminta semua pihak bersikap positif.
Sebaliknya, mereka berpuas hati dengan susunan jadual perlawanan yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang disifatkan cukup adil kepada setiap pasukan walaupun dijangka aksi lebih padat berbanding beberapa musim sebelum ini.
Bagi pengendali Perak, Mehmet Durakovic, beliau mengakui tidak berdepan masalah kerana memahami beberapa kekangan seperti kepentingan skuad kebangsaan dan pelaksanaan Program kawalan Ekonomi (ECP) yang menjadi faktor liga bermula pada 28 Februari ini.
“Memang saya tidak nafikan jadual Liga-M 2020 pasti padat termasuk perlawanan di bulan Ramadan tetapi selaku jurulatih profesional begitu juga dengan pemain-pemain saya, kita kena bersikap terbuka serta bersedia mengharungi setiap perlawanan.
“Saya faham skuad negara akan mengharungi saingan Piala AFF pada November nanti selain kelayakan Piala Dunia, jadi saya tahu pihak MFL telah sedaya upaya cuba yang terbaik bagi semua pasukan.
“Mungkin situasi ini akan membuatkan setiap jurulatih termasuk saya kena sentiasa melakukan penggiliran pemain jika perlu tetapi bagi saya, perkara itu bukan satu masalah besar,” katanya.
Ketua Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin pula gembira dengan jadual Liga-M 2020 yang dikeluarkan sedikit awal berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus memudahkan perancangannya bersama pasukan.
Mengenai pertambahan aksi pada bulan Ramadan, Sulaiman menganggap jika pemain-pemain dapat mengikuti langkah penjagaan kecergasan yang betul termasuk soal pemakanan, perkara itu tidak menjadi satu masalah.
“Jika ingin maju, kita tidak boleh terlalu bersikap hendak mengkritik sahaja dan segalanya serba tidak kena. Jika hendak buat perbandingan, jadual liga di luar negara sebenarnya lagi padat berbanding dengan kita.
“Mengenai perlawanan di bulan Ramadan, UKM FC selalu dapat mengutip banyak mata pada waktu itu jika rekod dua musim lalu dijadikan ukuran kerana pemain-pemain saya sentiasa disiplin mengikuti penjadualan nutrisi ditetapkan,” ujarnya.
Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh juga sependapat dengan Mehmet dan Sulaiman sekalipun menganggap jadual Liga-M kali ini sedikit mencabar.
“Enam atau tujuh perlawanan yang berlangsung pada bulan puasa nanti memang saya anggap satu cabaran, jadi para pemain kenalah kerja keras menjaga kecergasan. Prestasi pemain selalunya tidak menjadi isu, cuma saya kena berhati-hati dalam soal kecederaan pemain utama,” katanya.[1]
No comments:
Post a Comment