Ad

Monday, 20 January 2020

KAFA sahkan ada perbincangan bawa Amri sertai Kelantan

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 18 Januari 2020


Amri (kanan) antara pemain yang cukup berpengalaman di pentas Liga-M.
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengakui wujud rundingan untuk membawa masuk bekas penyerang Harimau Malaya, Mohd Amri Yahyah untuk beraksi bersama skuad The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.


Pengurus pasukan Kelantan, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, pihak pengurusan menyerahkan keputusan kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah untuk membuat keputusan sama ada ingin mengambil Amri beraksi bersama Kelantan.

“Baru-baru ini, ada ejen kepada Amri datang untuk berunding tetapi perbincangan itu tiada kata putus. Kita serah kepada Yusri sama ada beliau mahu atau tidak mengambil Amri.

“Apa yang boleh saya katakan, di pihak pengurusan kita bagi sepenuh kepercayaan kepada ketua jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Sebelum ini, timbul khabar angin mengatakan pemain berusia 38 tahun itu akan menyarung jersi Kelantan selepas jodohnya bersama Selangor berakhir musim lalu.

Begitupun, sehingga saat ini, Amri yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 hingga 2016 dan Melaka United (2017) belum mengesahkan destinasi baharunya.

Dalam pada itu, Wan Rakemi turut memberitahu, persediaan TRW bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 kini berada pada tahap 70 peratus melibatkan pemain tempatan selain pihaknya masih mencari pemain import untuk memenuhi kuota pasukan.

“Ada beberapa pemain import yang datang untuk trial bersama kita. Dalam dua atau tiga hari lagi ada dua import yang akan sampai dan jika Yusri kata okay, maka kami akan bersetuju dengan import itu.

“Apa sekalipun, saya percaya kami akan dapat menyiapkan pasukan dengan barisan pemain yang bagus sebelum liga bermula dan memberikan tentangan dalam saingan liga nanti,” ujarnya.


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)Mohd Amri Yahyah

No comments:

Post a Comment