MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SELEPAS kecewa pada aksi pertama siri jelajah pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit dalam aksi kedua dengan menewaskan kelab Dibba Al-Fujairah 1-0 di Stadium Club Dibba, semalam.
Anak buah Benjamin Mora yang tewas 0-2 kepada juara Liga Latvia, FC Riga Isnin lalu, berjaya meraih kemenangan ke atas kelab divisyen satu UAE itu sekaligus memberi keyakinan menjelang tiga lagi aksi selepas ini.
Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan tampil dengan kesebelasan terbaik termasuk menurunkan ayam tambatannya, Diogo Santo dan Safawi Rasid.
Diogo yang berasal dari Brazil memperagakan ketajamannya apabila meledak gol pertama seawal minit keempat buat mengejutkan pasukan tuan rumah.
Ketinggalan 1-0 menyaksikan kelab tuan rumah yang kini berada pada zon penyingkiran Liga UAE memperkemaskan aksi memburu gol penyamaan.
Namun kekentalan barisan pertahanan JDT mengekang asakan berterusan tuan rumah membolehkan juara Liga Super enam kali berturut-turut itu menamatkan saingan dengan kemenangan.
Harimau Selatan yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat musim kedua berturut-turut, akan meneruskan aksi pra musim berdepan skuad kebangsaan Turkmenistan Ahad ini diikuti kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC (30 Januari).
Untuk rekod, dalam kempen ACL, skuad Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan G dan akan bertemu Vissel Kobe dari Jepun pada 12 Februari ini di Stadium Misaki Park, Kobe.
Kemudian gergasi kelab Liga Malaysia itu akan membuka tirai saingan domestik menentang Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:50 PM
No comments:
Post a Comment