Ad

Saturday, 25 January 2020

Cabaran cuaca sejuk di Korea


MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

CUACA sejuk hingga mencecah 1 darjah celsius bakal menghantui anak buah Aidil Sharin Sahak apabila Kedah turun berdepan FC Seoul dalam pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Piala Dunia Seoul di Seoul, Selasa ini.

Bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Akmal Rizal Rakhli, yang mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab di Eropah sebelum ini, akui cuaca sejuk akan memberi sedikit kesukaran.

"Berdasarkan pengalaman saya, apabila beraksi di bawah cuaca yang sejuk ia akan sedikit mengganggu rentak permainan kita sekiranya tak biasa dengan keadaan itu.

"Mungkin pemergian Kedah lebih awal akan memberi peluang buat pemain cuba membiasakan diri sebelum sepak mula Selasa ini," katanya ketika dihubungi.

Menerusi beberapa keping gambar dan status yang dimuat naik oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di platform media sosial mereka, skuad Helang Merah sudah berangkat ke Seoul hari ini sebagai persiapan awal untuk bertemu FC Seoul.

Akmal bagaimanapun percaya Kedah sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kempen kelayakan itu.

"Barisan pemain sudah melakukan terbaik ketika menentang kelab Hong Kong (Tai Po FC) di pusingan kedua sebelum ini.

"Sekiranya semangat dan corak permainan sama diulangi, tak mustahil Kedah akan mampu membuat kejutan di sana," katanya.

Kedah membenam Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman dan semakin hampir untuk bersaing di peringkat utama kumpulan ACL.

Untuk rekod, pada peringkat sama tahun lalu, wakil Malaysia iaitu Perak turut terkandas ketika menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai juga dalam cuaca sejuk.

Ia menyaksikan skuad kendalian Mehmed Durakovic gagal memberi tentangan sengit hingga menyaksikan skuad The Bos Gaurus tewas 5-1.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 4:02 PM

No comments:

Post a Comment