Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh.
Kuantan: Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh mahu pemainnya bangkit untuk melakar kemenangan apabila melayan kunjungan Terengganu TFC (TFC) di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, biarpun prestasi pasukan tidak berada pada tahap yang diinginkan, pasukan itu tidak akan membenarkan lawan membawa pulang mata.
"Saya harap pemain yang disenaraikan dapat mengekalkan fokus mereka sepanjang 90 minit perlawanan dan memanfaatkan peluang yang ada.
"Kekalahan 1-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC minggu lalu diharap tidak berulang kerana misi utama ialah untuk kembali mencipta kemenangan.
"Dengan kemenangan bukan sahaja membantu memperbaiki kedudukan, malah pemain akan berasa lebih bersemangat untuk bermain dengan lebih baik," katanya.
Mengulas ketiadaan Herold Goulon kerana digantung perlawanan, Dollah berkata, pengganti pemain Perancis itu diharap dapat membantu memperkasakan pasukan itu.
Katanya, selain itu, jentera serangan yang masih belum berada pada prestasi terbaik dapat memberi tekanan kepada lawan.
"Saya mengharapkan jentera serangan lebih agresif dan bijak memanfaatkan peluang kerana gol yang dihasilkan itu sedikit sebanyak akan membantu pasukan," katanya.
Selepas enam perlawanan, Sri Pahang hanya mencatat satu kemenangan dan satu seri yang meletakkan pasukan itu di kedudukan ke-11 dengan empat mata.
SUMBER-MY METRO ONLINE -Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 6:52pm
No comments:
Post a Comment