Ad

Wednesday 21 April 2021

Semoga Harun Jusoh cepat sembuh

 Malik Muhamad

am@hmetro.com.my



Bekas pemain kebangsaan, Harun Jusoh ditemani isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar selepas terlantar sakit radang sendi di rumahnya. FOTO Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Saya rindu bola sepak... saya nak lihat pasukan negara dan Terengganu terus cemerlang," demikian reaksi dalam nada tersekat-sekat bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich, Jerman 1972, Harun Jusoh, 73.

Beliau yang juga legenda bola sepak Terengganu kini bertarung dengan penyakit radang sendi dan kini memerlukan penjagaan yang rapi kerana tidak mampu bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk meneruskan hidup.

Menurut isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar, 69, suaminya terlantar sakit sejak lebih sebulan lalu dan kini mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri termasuk mandi dan memakai lampin pakai buang.

"Sebelum ini suami menghidap sakit saraf selepas bersara daripada arena bola sepak, namun ketika itu masih lagi berupaya melakukan kerja.

"Namun sejak lebih sebulan lalu keadaan kesihatannya mulai merosot selepas disahkan menghidap radang sendi dan hanya bergantung kepada susu khas sebagai sumber makanan.

"Jadi untuk menguruskan seorang diri makcik tak mampu, khidmat jururawat disediakan bagi membantu suami di samping anak makcik.

"Besar harapan makcik untuk melihat suami kembali pulih seperti biasa selain memohon doa daripada seluruh peminat bola sepak negara," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Che Kundur, Batu Buruk, semalam.

Harun Jusoh (duduk dua kanan) bersama rakan sepasukannya dalam skuad Olimpik Munich 1972.

Mengulas lanjut, Sharifah Azizah berkata, ketika sihat suaminya jarang berkongsi mengenai sukan bola sepak, namun dia pernah menyatakan hasrat untuk membimbing anak muda Terengganu menjadi pemain bintang dalam sukan itu.

"Suami pernah melahirkan hasrat untuk membantu pemain muda jadi sepertinya kerana dia terlalu sayangkan sukan ini, tapi apakan daya kudratnya kini semakin merosot akibat penyakitnya itu," katanya.

Mengimbas zaman kegemilangannya ketika mewakili pasukan negeri dan kebangsaan, beliau seorang pemain sayap kiri yang lincah dan digeruni pihak lawan.Jadi tidak hairan beliau menjadi anak pertama Terengganu terpilih mewakili pasukan kebangsaan sebelum adiknya, Allahyarham Yahya yang meninggal pada 2013 mengikut jejaknya mewakili negara.

Sepanjang kariernya, beliau pernah beraksi bersama legenda kebangsaan termasuk Allahyarham Mokhtar Dahari, Ali Bakar, Abdullah Ali, Datuk Soh Chin Aun, R Arumugan, Datuk Santokh Sing dan Shukor Salleh selain pernah mencipta sensasi ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan menewaskan Arsenal 2-0 dan 1-1 dalam dua aksi persahabatan pada Mei 1975.

Selain itu beliau juga pernah mewakili negara dalam temasya Sukan Sea Rangoon , Myanmar 1969, Sukan Asia Tehran 1974 (mengutip gangsa) dan Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum Malaysia tarik diri.

SUMBERDisiarkan pada: April 21, 2021 @ 3:00pm

No comments:

Post a Comment