Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my
Yusri Che Lah.
Melaka: "Usah tunduk dan terus bangkit kerana bola sepak bukan sesuatu yang mudah buat pemain muda tambahan semuanya masih baharu dalam liga di negara kita," kata jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah selepas pasukannya dibelasah 1-7 oleh Sarawak United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam kelmarin.
Justeru, katanya, pemain perlu bekerja lebih keras kerana liga itu menjanjikan saingan cukup baik terutama pendedahan yang amat positif dalam aspek pembangunan.
Apapun, beliau mengakui tidak berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemainnya yang berubah berbanding aksi terdahulu ketika mengikat Kuching FC.
Menurutnya, keputusan berkenaan memang berat untuk diterima kerana pemain sekali lagi berdepan situasi terlalu menghormati lawan, menyebabkan sedikit sebanyak kegugupan berlaku sepanjang perlawanan, namun beliau tetap positif terhadap masa depan pemain projek terbabit.
Beliau berkata, gol yang diperoleh lawan semuanya hasil kesilapan dicipta sendiri oleh pemainnya sepanjang 90 minit permainan.
"Kami meletakkkan barisan sama ketika berdepan Kuching FC. Namun sikap terlalu hormat pemain lawan menjadi antara punca dua gol awal berlaku dalam tempoh dua minit menyebabkan moral pemain dan pasukan terjejas," katanya.
Gol Sarawak United dihadiahkan menerusi empat jaringan Uche Agba pada minit ke-15, 17, 30 dan 61 selain S Chanturu m-45, Abdul Rahim Abdul Razak m-82 dan Tommy Mawat Bada m-87.
Jaringan sagu hati skuad projek diperoleh menerusi sepakan penalti Azhad Harraz Azman (m-57) sekali gus memecah kekebalan kubu Sarawak United sepanjang lima aksi sebelum ini.
Kemenangan itu, membolehkan Sarawak United kini unggul di persada liga menerusi kutipan 16 mata hasil daripada enam perlawanan sementara tangga kedua milik Negeri Sembilan dengan 13 mata selepas mengharungi tujuh aksi awal.
Sementara itu, jurulatih Sarawak United, E Elavarasan terkilan kubu yang tidak pernah bocor sebelum ini musnah di tangan Skuad Projek FAM-MSN.
Katanya, usaha mengekalkan rekod tanpa dibolosi akhirnya musnah menerusi jaringan penalti lawan, namun cara gol itu tetap dianggap positif sebagai motivasi pemain kerana gawang dibocori bukan menerusi gerakan padang.
"Saya akui pengalaman luas pemain kami termasuk bintang import memberi kelebihan kepada pasukan Sarawak United untuk menafikan kesungguhan lawan.
"Prestasi pemain muda negara tidak boleh diukur dalam perlawanan ini kerana Skuad Projek masih dalam proses pembentukan dan pembangunan yang perlu diberi ruang setahun atau dua tahun lagi untuk lebih matang," katanya.
Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 7:01am SUMBER-MYMETRO ONLINE
No comments:
Post a Comment