Ad

Thursday 15 April 2021

'Safawi belum pasti diturunkan'

Rizar Mohd Noor - April 15, 2021 @ 11:46am

rizar@mediaprima.com.my



Safawi kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan pada sesi latihan di Pusat Latihan Seri Gelam menjelang aksi menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam esok. Foto Ihsan Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Meskipun kelibat Safawi Rasid tampak mula menjalani latihan bersama skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), belum ada kepastian sama ada dia akan diturunkan pada aksi menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Ayam tambatan skuad Harimau Selatan itu mengalamai kecederaan ketika aksi liga menentang UiTM FC pada 13 Mac lalu yang memaksa dia tersisih dalam lima aksi liga dan posisi sayap kanan diambil alih Ariff Aiman Hanafi yang semakin konsisten corak permainannya.

Malah pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan , Safawi sudah mula menjalani latihan dan sedang berusaha untuk kembali berada di tahap kecergasan yang memuaskan selepas pulih daripada kecederaan.

Namun, pengendali kelahiran Mexico itu enggan memberi jaminan sama ada Safawi akan beraksi dalam kesebelasan utama dalam pertembungan menentang Sri Pahang FC, sebaliknya menegakan pemain itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan kembali posisi sayap kanan daripada Ariff Aiman.

"Itu merupakan persaingan yang sihat dalam kalangan setiap pemain di JDT, mereka tahu untuk berada dalam kesebelasan utama, setiap pemain harus ada kesungguhan dan mampu berdaya saing dengan rakan sepasukan untuk rebut tempat kesebelasan utama.

"Setiap kali dalam sesi latihan, mereka beri yang terbaik dan itu adalah rahsia utama untuk JDT meraih kemenangan kerana mereka tahu latihan yang dilaksanakan untuk mencapai objektif, tahu mengenai sistem yang dipratikkan.

"Jadi sama ada Safawi akan beraksi atau tidak, tunggu sahaja malam esok dan saya enggan dedahkan lagi kerana saya mahu lihat tahap kecergasannya dan kemampuan beliau beraksi sehingga tamat perlawanan," katanya.

Ditanya mengenai pertembungan menentang Sri Pahang FC, Mora tidak menolak JDT akan berdepan aksi sengit daripada skuad yang kini dikendali oleh Dollah Salleh tatkala pasukan itu pasti mahu keluar dari kelompok bawah liga.

Malah Mora mendedahkan setiap pasukan yang berdepan JDT akan tampil dengan corak permainan berbeza berbanding ketika menentang pasukan lain yang menyebabkan JDT perlu lebih berwaspada bagi mengelak terperangkap dengan taktikal pasukan lawan.

"Bila jumpa JDT mereka akan tampil dengan corak permainan `luar biasa' kerana merka akan beraksi dengan penuh bersemangat semata-mata mahu tewaskan JDT dan kami tahu akan situasi itu dan tidak boleh bersikap sambil lewa.

"Sri Pahang adalah pasukan yang hebat dan kami hormati mereka tatkala beraksi di laman lawan. Apapun kami akan cuba bawa pulang tiga mata," kata Mora. SUMBER-BH ONLINE

No comments:

Post a Comment