Ad

Wednesday, 21 April 2021

Siapa ayam tambatan?

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi ( dalam aksi saingan liga super menentang Perak FCdi Stadium MBPJ. FOTO OWEE AH CHUN

Kuala Lumpur: Timbul kebimbangan di jentera serangan skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berbaki 44 hari sebelum turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 3 Jun ini.

Berdasarkan kedudukan terkini senarai penjaring Liga Super, tiada seorang pun penyerang tempatan yang merekodkan lebih daripada lima gol dalam sembilan aksi di saingan divisyen satu Liga Malaysia (Liga M) itu.

Sebaliknya ia dikuasai ayam tambatan import yang diketuai penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva dengan sembilan gol diikuti pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun (tujuh gol), pemain Kedah Darul Aman FC, Kpah Sherman (enam gol) dan tonggak Penang FC, Casagrande (lima gol).

Bagaimanapun, pemain baharu naturalisasi negara dari Brazil, Guilherme de Paula (gambar) yang beraksi untuk Perak FC mungkin memberi sedikit kelegaan apabila berjaya meledak empat gol bagi melegakan seketika tekanan pasukan negara di bahagian hadapan.

Selebihnya penyerang tempatan seperti tonggak Selangor, Shahrel Fikri sekadar meledak satu gol, begitu juga dengan beberapa pemain senior lain termasuk bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid turut mencetak satu gol.

Begitupun, tonggak muda JDT yang semakin meningkatkan naik iaitu Arif Aiman Hanapi mungkin boleh dijadikan sandaran di pusingan kelayakan di Dubai itu nanti apabila pemain berusia 18 tahun itu berjaya meledak dua gol setakat ini.

Untuk rekod, penyerang tempatan yang kini mendahului senarai penjaring adalah Darren Lock yang beraksi buat Petaling Jaya City serta S Kumaahran bersama Melaka United yang masing-masing sudah menjaringkan tiga gol.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe pastinya berdepan cabaran besar untuk memastikan taring skuad Harimau Malaya di Dubai nanti tampil lebih tajam bagi merobek gawang lawan, sekali gus memburu kemenangan.

Namun mengikut statistik pasukan kebangsaan sebelum ini, ternyata corak permainan dan taktikal Cheng Hoe tidak hanya meletakkan tugas menjaringkan gol di bahu penyerang semata-mata.

Hampir separuh gol yang dicatatkan dalam lima aksi kelayakan sebelum ini disumbangkan oleh pemain tengah dan sayap dengan menekankan aspek permainan bola sepak secara terbuka.

Apa yang penting, dua aksi persahabatan menentang Bahrain dan Kuwait harus digunakan sebaiknya untuk meningkatkan dan mengasah taring pasukan negara sebelum ke medan sebenar bertemu UAE, Vietnam dan Thailand pada 3, 11 dan 15 Jun ini.

Ketika ini, Malaysia menghuni tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata dan hanya dipisahkan dua mata daripada Vietnam di tangga pertama.SUMBER-MY METRO ONLINE

Sementara Thailand, UAE dan Indonesia di kedudukan ketiga hingga lima.

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 7:15am

No comments:

Post a Comment