Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Pemain Terengganu II, Aqil Irfanuddin (dua kanan) diasak pemain Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman (dua kiri) pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bulan lalu. FOTO Ghazali Kori
Kuala Lumpur: Belanja berjuta-juta bukan hanya untuk menghasilkan 20 pemain muda saja namun sasaran adalah lebih berdasarkan matlamat pembangunan bola sepak ketika ini.
Itu antara penjelasan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee terhadap kenapa skuad Projek FAM-Majlis Sukan Negara (MSN) tidak harus diganggu walaupun terus mencatatkan keputusan yang teruk selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Perdana.
Kim Swee berkata, pihaknya dalam usaha menghasilkan pemain muda berkualiti dan mempunyai masa depan cerah dalam karier bola sepak seterusnya diserapkan dalam skuad kebangsaan atau sekurangnya bermain untuk Sukan Sea.
Beliau berkata, skuad Projek FAM-MSN tidak akan dihentikan atau ditarik daripada menyertai Liga Perdana walaupun menerima kritikan pedas daripada pihak tertentu.
"Seperti saya katakan, jika mahu melihat pasukan ini berjaya atau tidak adalah menunggu pada hujung musim kerana ketika ini ada beberapa pemain sudah mula berunding bersama skuad lain.
"Mereka ini bukanlah terdiri daripada pemain utama namun jika diberikan ruang dan peluang mungkin pada masa hadapan akan mewakili negara.
"Kita sudah berhabis berjuta ringgit namun tak mahu berpuas hati dengan 20 pemain muda saja ketika ini kerana sudah tentu mahukan lebih," katanya.
Selain itu, bekas pengendali skuad Bawah 23 tahun itu berkata, sememangnya ada kerisauan apabila pasukan terbabit tewas dalam jumlah jaringan besar sekali gus menuntut penambahbaikan dilakukan dalam masa terdekat ini.
"Namun, mungkin pemain ini sudah matang dan akan tampil lebih baik pada sesi kedua nanti berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang semakin meningkat," katanya.
Mengikut rekod, ketika ini, skuad kendalian Yusri Che Lah masih lagi 'setia' menghuni tangga tercorot Liga Perdana dengan hanya dua mata selepas mencatatkan dua seri dan lapan kali tewas selepas mengharungi 10 perlawanan.
SUMBER-MY METRO ONLINE Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 6:25pm
No comments:
Post a Comment