AFP
AKSI Pogba (kiri) menanduk masuk gol kelima United. FOTO AFP
Manchester: Bruno Fernandes dan Edinson Cavani masing-masing meledak dua gol ketika Manchester United membelasah Roma 6-2 di Old Trafford untuk menghampiri pentas final Liga Europa.
United memburu tiket final di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer buat kali kelima selepas empat kali gagal pada aksi separuh akhir sejak dua musim lalu.
Hanya keajaiban dilakukan Roma pada peringkat kedua dapat memusnahkan impian United berdepan sama ada Villarreal atau Arsenal di Gdansk pada 26 Mei depan.
Tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan sebelum rehat selepas jaringan awal Fernandes disamakan penalti Lorenzo Pellegrini disusuli tolakan mudah Edin Dzeko.
Tetapi Roma kehilangan tiga pemain akibat kecederaan sebelum rehat dan United memanfaatkan sepenuhnya situasi itu.
CAVANI meledak gol ketiga Red Devils.
Dua ketajaman penyudah Cavani mengubah kedudukan sebelum Fernandes meledak penalti.
Paul Pogba dan Mason Greenwood melengkapkan kemenangan bergaya United yang muncul pasukan pertama menjaringkan enam gol pada aksi separuh akhir sejak Real Madrid melakukannya pada 1964.
"Kami bangga dengan tindak balas pemain," kata Solskjaer. "Babak kedua kami sangat hebat."
Selepas peluang United memburu gelaran Liga Perdana tampak berakhir, Solskjaer menurunkan skuad terkuat dalam misi menamatkan kemarau trofi empat tahun Red Devils.
Kombinasi Pogba, Fernandes dan Cavani kerap mengancam kubu Roma.
"Kami tahu kami memiliki pemain kreatif yang mampu mencipta peluang dan menjaringkan gol," kata Solskjaer.
"Marcus (Rashford), Bruno, Paul, Edinson semuanya berkebolehan. Perbezaan hari ini ialah kami berjaya memanfaatkan hampir semua peluang itu."
Sementara itu, pengendali Roma, Paulo Fonseca sukar mencari jawapan kemerosotan pasukannya pada babak kedua.
"Kami beraksi baik babak pertama tetapi seperti tidak wujud pada separuh masa kedua. Sukar dijelaskan bagaimana pasukan yang sama bagus pada babak pertama bermain teruk selepas itu."
SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 30, 2021 @ 7:36am
No comments:
Post a Comment