SUKAN
NORDE (kanan) meraikan jaringan pembukaan Melaka United ketika menewaskan UiTM FC 3-0 pada aksi Liga Super Stadium UiTM Shah Alam malam kelmarin. – FOTO MELAKA UNITED
Zainal lega peroleh kemenangan kedua
Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD HANAFIAH
12 April 2021, 11:10 am
KEHADIRAN penaja baharu ternyata menyuntik semangat pasukan Melaka United apabila skuad Sang Kancil itu berjaya membawa pulang tiga mata selepas menewaskan pasukan UiTM FC 3-0 di Stadium UiTM Shah Alam malam kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan perlu menunggu sehingga lebih setengah jam perlawanan sebelum memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan lencong, Sony Norde untuk membolehkan pasukan pelawat mendahului perlawanan pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, UiTM FC yang merehatkan Frank Bernhardt dan membawa masuk Reduan Abdullah dilihat gagal mengubah nasib skuad Lions Troops apabila kecundang buat kali ketujuh musim ini.
Melaka United dilihat bijak menggunakan peluang tersebut dan terus garang menyumbat dua gol pantas dalam tempoh lima minit menerusi tandukan Stefan Nikolic berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke-60 sebelum jaringan S. Kumaahran pada lima minit berselang.
“Saya tidak nafikan permainan agak tersusun dan mereka ambil peluang. Kita tidak nafikan kali ini pemain cepat mencipta gerakan dan peluang ledak gol.
“Justeru, tiga mata yang kita bawa pulang ini sangat penting untuk tingkatkan semangat pasukan menjelang aksi seterusnya,” kata Zainal sejurus tamat perlawanan.
Baru-baru ini pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn. Bhd. (KenTeam) sah menjadi pemilik baharu Melaka United dengan memegang 70 peratus saham keseluruhan, manakala baki 30 peratus masih dipegang Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).
SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment