Firdaus Hashim
LIM TEONG KIM
Kuala Lumpur: "Apa yang FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) buat (pembangunan) tak betul dan salah. Ini keputusan tidak bertanggungjawab dan Pengarah Teknikal FAM perlu bertanggungjawab."
Demikian pandangan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim yang menegaskan langkah FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar skuad Projek FAM-MSN beraksi di Liga Perdana salah dan ia bukan disifatkan sebagai pembangunan.
Katanya, definisi pembangunan bola sepak sebenar adalah untuk melahirkan pemain secara individu yang memiliki kekuatan mental dan karakter serta jati diri kuat berbanding tindakan FAM yang dilihat hanya mahu membina sebuah pasukan semata-mata.
Jelasnya, pencapaian skuad Harimau Muda pada 2008 hingga 2012 tidak boleh dijadikan ukuran kerana skuad terbabit yang beraksi di Liga Perdana ketika itu tidak bersaing dengan tonggak import.
"Mana boleh nak samakan dengan skuad Harimau Muda, dulu mereka main Liga Perdana tanpa ada pemain import tetapi skuad Projek FAM-MSN sekarang kena bersaing dengan pemain import dan juga pemain senior yang jauh lebih kuat, lebih berusia dan lebih pantas daripada mereka.
"Dulu juga skuad Harimau Muda adalah skuad yang menghimpunkan pemain muda terbaik dalam negara manakala skuad Projek FAM-MSN juga terbaik namun masih belum bersedia.
"Jadi nak bercakap itu biarlah ada fakta dan jangan selindungkan fakta. Bagaimana pasukan ini nak bersaing dengan pasukan senior kerana pemain ini baru saja berusia 17 hingga 20 tahun.
"Pembangunan bermaksud kemanusiaan, kita asah pemain muda untuk lebih berkeyakinan, mampu berfikir untuk selesaikan masalah di dalam padang serta menghormati orang lain," katanya yang kini menetap di Jerman.
Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang melihat skuad Projek FAM-MSN beraksi baik ketika menentang Selangor FC II walaupun akhirnya tewas 2-4, Teong Kim menganggap contoh itu tidak wajar kerana kebanyakan pemain Selangor FC II adalah pemain berusia 20 tahun.
"Mereka (skuad Projek FAM-MSN) boleh memberi cabaran dalam perlawanan berdepan Selangor FC II kerana pemain ramai muda dan hanya satu pemain sahaja yang berumur 30 tahun," katanya yang pernah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 1989 lalu.
Beliau turut berkongsi statistik beberapa pemain skuad FAM-MSN apabila menyenaraikan hanya dua pemain sahaja mampu mengawal bola, di mana paling lama hanyalah selama 23 saat dan lima saat.
Selebihnya, anak buah Yusri Che Lah dilihat lebih banyak berlari dan mengejar bola sepanjang 90 minit aksi ketika menentang Negeri Sembilan pada 23 Mac lalu."Ini menunjukkan bahawa mereka (skuad Projek FAM-MSN) tak main bola...apa yang mereka (FAM) kata mengenai pembangunan untuk menilai pemain kalau pegang bola pun tak sampai seminit.
"Kalau pegang bola hanya lima saat, itu menunjukkan mereka tak boleh selesaikan masalah ketika berdepan lawan dan juga pemain tak yakin dengan diri sendiri, malah psikologi mereka akan lagi teruk kerana asyik kalah saja," katanya yang pernah menaikkan bintang ternama dunia seperti Thomas Muller, Toni Kroos, David Alaba dan Emry Can ketika berkhidmat di Akademi Bayern Munich sebelum ini.
Untuk rekod, selepas mengharungi lima aksi, skuad Projek FAM-MSN tewas dalam semua perlawanan dengan kini menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 7:00amSUMBER-MY METRO ONLINE
No comments:
Post a Comment