Ad

Sunday, 25 April 2021

Devan terkilan pemain lepaskan peluang

Mohd Amin Jalil

sukanteam@nstp.com.my



Devan mengakui barisan depan gagal memanfaatkan peluang dengan baik menentang Sarawak malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL.

Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan terkilan kerana pemain pasukan itu melepaskan peluang terbaik bagi meraih kemenangan apabila seri dengan Sarawak United, 1-1, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

"Ya, rasa terkilan kerana hari ini (malam tadi) kita kehilangan dua mata, sepatutnya kita boleh menang tapi disebabkan kesilapan dan kurang persefahaman antara Annas Rahmat dan penjaga gol (Damien Lim), kita beri pemain lawan jaringkan gol.

"Bola itu bukan bola bahaya tapi disebabkan kesilapan pada awal permainan itu, gawang Negeri Sembilan sudah bolos," kata Devan.

Beliau merujuk gol yang diperoleh Sarawak pada minit pertama permainan menerusi pemain tengah pasukan itu, Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra.

Menurut pengendali berpengalaman itu, walaupun selepas jaringan itu pemain skuad Hobin Jang Hobin berjaya mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan, tetapi barisan depan gagal memanfaatkannya dengan baik.

"Gandingan jentera serangan diterajui Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak), Alain Thierry Akono dan Rafael Gomes De Oliveira, dilihat banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol Sarawak tapi percubaan mereka tidak menepati sasaran.

"Walaupun kita berjaya mengawal hampir keseluruhan permainan terutama di babak pertama, tapi ketumpulan barisan depan, ternyata memberi masalah untuk kita dapatkan gol.

"Malah, peluang terbaik di hadapan pintu gol Sarawak yang mana pemain hanya perlu menahan atau menolak masuk bola ke gawang, juga tidak berlaku," katanya.

Devan yang juga pengurus pasukan, bagaimanapun lega kerana Akono berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-61.

Katanya, usahanya melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk penyerang Muhammad Ferris Danial Mat Nasir bagi memantapkan jentera serangan dan bagi mendapatkan gol tambahan, juga tidak banyak beri kesan positif.

"Apapun, satu mata sungguh berharga untuk membolehkan kita kekal di kedudukan pertama carta dan selepas ini fokus kepada memperkasakan jentera serangan menjadi keutamaan bagi menghadapi pertemuan dengan PDRM di gelanggang lawan," katanya.

Sementara itu, pengendali Sarawak, E Elavarasan melahirkan rasa lega kerana pemainnya berjaya menafikan hasrat Negeri Sembilan mendapatkan kemenangan.

Beliau menyifatkan perlawanan malam tadi adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menyerang dan masing-masing berjaya mencipta banyak peluang jaringan.

"Pemain saya melaksanakan tugas dengan baik seperti mana yang dirancang dan saya anggap keputusan seri malam ini menepati dengan apa yang mereka persembahkan," kata bekas pengendali Melaka United itu.SUMBER MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 25, 2021 @ 1:59pm

No comments:

Post a Comment