Asrol Awang - April 9, 2021 @ 5:04pm
bhsukan@bh.com.my
Kapten Sri Pahang FC, Muslim Ahmad dalam satu aksi sebelum ini. - Foto NSTP/Muhammad Asyraf Sawal.
KUANTAN: Sri Pahang FC akan turun tanpa kapten pasukan, Muslim Ahmad dan Jadid Ilias apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
Mengesahkan perkembangan itu, ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh berkata dua pemain pertahanan berkenaan terpaksa diketepikan kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.
"Setakat ini, hanya Muslim dan Jadid tidak dapat disenaraikan. Diharapkan ia tidak mengganggu persediaan pasukan. Herold Goulon yang tidak beraksi ketika pasukan seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) Selasa lalu, akan kembali bersama pasukan.
"Biarpun prestasi pasukan belum berada pada tahap yang diinginkan, peningkatan prestasi dan komitmen sepanjang tempoh 90 minit perlawanan ditagih untuk membantu pasukan mencatat keputusan membanggakan," katanya.
Selepas tujuh perlawanan, Sri Pahang FC berada di kedudukan kesembilan dengan mengutip lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua seri. Ketumpulan jentera serangan antara faktor utama pasukan itu gagal menyerlah.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh berkata, displin tinggi ditagih dalam usaha menafikan KL City daripada mencatat kemenangan.
SUMBER-SUKAN BH ONLINE
No comments:
Post a Comment