Ad

Saturday, 17 April 2021

Kejutkan Sarawak United titik perubahan PDRM: Wan Rohaimi

Nazri Abu Bakar



WAN Rohaimi Wan Ismail. FOTO Nazri Abu Bakar

Melaka: Kemenangan 2-0 PDRM ke atas Sarawak United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi dilihat sebagai titik perubahan buat The Cops mendaki carta Liga Perdana musim ini.

Jurulatih PDRM, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, lebih manis tiga mata diraih ke atas pasukan lawan yang kini berada di persada liga dan di puncak prestasi.

Baginya, dia amat berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang bermati-matian untuk memperoleh tiga mata berharga walaupun berdepan reputasi hebat skuad tuan rumah.

"Mungkin Sarawak United turun tanpa kekuatan sebenar kerana hilang beberapa tonggak namun pemain kami mengambil peluang dengan begitu positif untuk mengejutkan mereka.

"Malah kami memiliki peluang dalam babak pertama tetapi kurang kreativiti membantutkan usaha meledak jaringan namun akhirnya mereka berjaya menterjemah dua gol pemisah pada 45 minit kedua untuk pulang dengan mata maksimum," katanya.

Bekas pemain kebangsaan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Johor FC ,Public Bank dan Pulau Pinang sekitar 1997-2011 yang pernah melakar sejarah tersendiri mampu beraksi sebagai penyerang, tengah dan pertahanan itu juga akan terus mengekalkan formasi 4-3-3 untuk pasukan berkenaan.

Justeru, dia tidak akan mengubah formasi terbabit, cuma `game plan' bakal berbeza ketika berdepan setiap lawan sama ada di laman sendiri atau sebagai pelawat.

Apapun, dia jelas merendah diri dengan perubahan pasukan terbabit sejak mula mengambil alih skuad berkenaan awal April lalu.

Beliau berkata, dia masih dalam proses pembelajaran namun pengalaman yang dikutip sebagai pemain, jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan skuad Piala Presiden Pulau Pinang akan digunakan sebaik mungkin untuk merubah penampilan skuad terbabit.

Dia sedikit lega berikutan pada mula melatih PDRM, dia mendapati moral pemain amat menurun, namun mula terdapat perubahan dari masa ke semasa dan kini mereka mula boleh tersenyum.

Wan Rohaimi berkata, terima kasih kepada pengurusan, pemain dan semua yang terbabit dengan skuad berkenaan yang memberi sokongan kepadanya namun dia perlu terus untuk memastikan persembahan pasukan semakin mantap.

Sehubungan itu, tempoh 12 hari sebelum berdepan Negeri Sembilan selepas ini akan digunakan untuk pemulihan kecederaan, keserasian dan persefahaman pasukan.

SUMBER-Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 1:05pm

No comments:

Post a Comment