Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
DOLLAH akui ambil pasukan dalam tekanan. FOTO NSTP
Kuantan: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh sudah menjangkakan akan berdepan tekanan sebaik mengambil alih pasukan itu daripada Thomas Dooley.
Bagaimanapun, beliau tetap menerima tanggungjawab itu biarpun sedar risiko tinggi berdasarkan senarai pemain yang menyarung jersi pasukan itu musim ini.
"Sebenarnya saya ambil pasukan ini dalam tekanan kerana sebagai pengurus pasukan ketika itu, saya sudah tahu situasi yang bakal dihadapi pasukan.
"Tetapi saya meneruskan selepas diarah Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (pemilik Sri Pahang FC). Saya sahut cabaran dan sanggup terima hakikat dengan prestasi yang dipersembahkan pasukan.
"Saya harap pada jendela perpindahan pemain nanti, akan ada perubahan dalam pasukan untuk mengembalikan prestasi pasukan pada tahap lebih baik.
"Perubahan besar dalam pasukan kemungkinan tidak berlaku tetapi perancangannya sudah ada," kata bekas pemain kebangsaan itu.
Dollah mengambil alih jawatan ketua jurulatih selepas Dooley gagal memastikan kemenangan pada dua perlawanan awal saingan Liga Super.
Selepas 10 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kedua tercorot liga dengan hanya mengutip lima mata.
Mengulas kekalahan 0-3 ke atas Penang FC malam tadi, beliau berkata, bahagian pertahanan yang longgar pada 20 minit pertama menyebabkan dua gol dibolosi.
Katanya, kegagalan mengawal permainan menyebabkan tuan rumah mengambil kesempatan yang menyebabkan perubahan awal dilakukan dengan menyenaraikan Harold Goulon.
"Walaupun Goulon masih cedera, saya terpaksa menyenaraikannya dan kehadirannya dalam pasukan berjaya untuk mengukuhkan kembali jentera pasukan.
"Pada babak kedua, pasukan mula mendapat rentak permainan tetapi ketumpulan jentera serangan menyebabkan tiada jaringan dapat dihasilkan," katanya.
Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 12:03pm.1
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/04/698858/dollah-sudah-jangka-berdepan-tekanan (diakses pada 25 April 2021)
No comments:
Post a Comment