Ad

Tuesday, 6 April 2021

Dollah bimbang sejarah hitam berulang

Zulfaizan Mansor - April 5, 2021 @ 7:18pm

zulfaizan@bh.com.my



Sri Pahang hanya meraih satu kemenangan sahaja pada aksi Liga Super setakat ini.

KUALA LUMPUR: Hanya meraih satu kemenangan dan berada di kedudukan kedua terbawah Liga Super meletakkan pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh dalam keadaan yang cukup sukar untuk menaikkan semula moral pemain bagi menghadapi Terengganu FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Mengakui situasi musim ini paling mencabar sepanjang bersama Sri Pahang, Dollah bagaimanapun enggan pemainnya mengibarkan bendera putih sebelum berjuang.

Apa yang berada dalam kepala Dollah ketika ini hanya satu iaitu tidak mahu sejarah 10 tahun lalu kembali berulang apabila skuad Tok Gajah tersingkir ke saingan Liga Perdana.

"Kalau tengok pada pasukan, memang sebelum saya ambil pun sudah nampak dalam keadaan bermasalah dan sekarang dalam fikiran saya hanya tidak mahu pasukan ini jatuh ke Liga Perdana. Itu sahaja sasaran paling realistik yang saya rasa sesuai buat pasukan buat masa ini.

"Pemain utama dalam pasukan ini hampir 70 ke 80 peratus sudah keluar dan situasi itu sememangnya cukup sukar memandangkan pemain utama yang kita ada sekarang bukanlah terdiri daripada mereka yang selalu bermain dalam Liga Super.

"Selepas itu, pemain import selain Lee Tuck, juga tidak banyak membantu yang meletakkan pasukan ini bertambah parah serta sukar bagi cabaran kepada pencabar lain.

"Bagaimanapun saya tidak mahu menjadikan itu sebagai satu alasan, kita kena berjuang apa jadi sekali pun. Saya selalu berpesan kepada pemain supaya sentiasa menunjukkan karakter untuk menang biarpun perbandingan Sri Pahang dengan pasukan lain agak jauh.

"Jangan tunjukkan yang kita lemah dan sudah berputus asa sebelum masuk padang, perkara itu hanya akan membuatkan lawan lagi berasa yakin untuk tewaskan pasukan," katanya.

Kemenangan tunggal Sri Pahang diraih ketika menewaskan Sabah FC, 2-1 di laman sendiri pada perlawanan keempat Liga Super.

Selain itu, satu lagi mata diperoleh mereka ketika mengikat Melaka United 0-0 di Stadium Hang Jebat dan empat lagi perlawanan menyaksikan Tok Gajah tewas.

Gandingan dua penyerang import, Pedro Henrique Oliveira dan Yevhen Bokhashvili dilihat kurang menyengat dengan mereka berdua setakat ini hanya mampu menyumbang satu daripada empat jaringan yang dihasilkan Sri Pahang.

Selain itu, Sri Pahang merupakan pasukan kedua yang menghasilkan gol paling rendah dalam saingan Liga Super musim ini selain rekod pertahanan yang paling banyak dibolosi iaitu 10 gol bersama UiTM FC.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

No comments:

Post a Comment