Syafiq Aznan - April 21, 2021 @ 3:37pm
syafiq.aznan@bh.com.my
Nana Pokj (kiri), Sam Johnson.
KUALA LUMPUR: Jika nilai pasaran pemain termahal setiap pasukan Liga Super digabungkan, ia mencecah hampir RM22 juta berdasarkan nilai yang dikeluarkan laman sesawang terkemuka, transfermarkt.co.uk.
Nilai RM22 juta itu diperoleh daripada 12 pemain yang dilihat memiliki nilai pasaran tertinggi dalam pasukan masing-masing yang menyaksikan pemain import mendominasi 'carta' dalam kalangan pemain daripada pasukan terbabit.
Namun, ada juga beberapa pemain yang berkongsi nilai pasaran tertinggi yang sama membabitkan pemain import dan pemain tempatan.
Lebih mengejutkan adalah pemain Sabah FC, Sam Johnson muncul pemain termahal Liga Super musim ini selepas memegang 'tanda harga' setinggi RM3.3 juta diikuti penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera dengan RM3 juta.
Meskipun bergelut di dasar Liga Super, penyerang UiTM FC, Nana Poku muncul sebagai pemain ketiga termahal Liga Super pada nilai RM2 juta disusuli pemain tengah Terengganu FC (TFC), Makan Konate dengan RM1.9 juta.
Pemain termahal Selangor FC (SFC) pula menjadi milik pemain tengah mereka, Oliver Buff (RM1.7 juta) serta penyerang import dari Ukraine, Yevhen Bokhashvili memegang status sebagai pemain termahal Sri Pahang FC (RM1.6 juta).
Bagi pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, empat pemain muncul sebagai pemain termahal pasukan itu pada nilai yang sama (RM1.5 juta) iaitu Baddrol Bakhtiar, Rabih Ataya, Kpah Sherman dan Renan Alves.
Perak FC pula memiliki tiga pemain termahal iaitu Guilherme de Paula, Shahrul Saad dan Careca selepas masing-masing diletakkan nilai pasaran juga sebanyak RM1.5 juta.
Nilai RM1.5 juta turut diletakkan kepada dua pemain KL City FC iaitu Dominique da Sylva dan Romel Morales sekali gus meletakkan dua pemain itu sebagai pemain termahal skuad 'Warga Kota.'
Begitu juga dengan pemain Melaka United (MU), Alex Goncalves yang turut bernilai RM1.5 juta untuk menjadi pemain termahal pasukan itu disusuli pemain termahal Penang FC yang juga pemain import, Sheriddin Boboev (RM1.2 juta).
PJ City FC yang menampilkan keseluruhan anak tempatan menjadi satu satunya pasukan dengan pemain termahal tidak melebihi RM1 juta iaitu K Barathkumar yang memiliki nilai pasaran sebanyak RM766,000.
Gabungan 12 pemain termahal setiap pasukan dalam Liga Super
1. Sam Johnson - Sabah - RM3.3 juta
2. Gonzalo Cabrera - JDT - RM3 juta
3. Nana Poku - UiTM - RM2 juta
4. Makan Konate - TFC - RM1.9 juta
5. Oliver Buff - Selangor - RM1.7 juta
6. Yevhen Bokhashvili - Sri Pahang - RM1.6 juta
7. Baddrol Bakhtiar, Rabih Ataya, Kpah Sherman, Renan Alves - Kedah - RM1.5 juta
7. Guilherme De Paula, Shahrul Saad, Careca - Perak - RM1.5 juta
7. Dominique Da Sylva, Romel Morales - KL City - RM1.5 juta
7 Alex Goncalves - Melaka - RM1.5 juta
11. Sheriddin Boboev Penang FC RM1.2 juta
12. K Barathkumar - PJ City -
RM766,000
Jumlah keseluruhan RM21.97 juta.SUMBER-BH ONLINE
No comments:
Post a Comment