Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Amalan bersedekah dan minum air putih antara rahsia dikongsi moyang mendakwa berusia 120 tahun ketika ditemui Kampung Dusun Raja, di sini.
Siti Liah Mamat dikurniakan usia melebihi satu abad, namun fizikalnya masih kuat dengan berjalan tanpa tongkat selain memiliki pendengaran baik dan daya penglihatan masih jelas tanpa perlu berkaca mata.
Dia yang mempunyai 12 anak, 48 cucu serta 44 cicit serta tinggal serumah dengan sebahagian besar anggota keluarganya bersyukur masih bernafas dan berpeluang merasai peredaran kehidupan yang berbeza.
"Ramai yang datang bertanya rahsia saya masih kuat walaupun di usia sebegini, saya sendiri tidak tahu jawapannya, tetapi apa yang saya suka lakukan ialah memberi hadiah dan berkongsi rezeki dengan orang lain.
"Sesiapa yang datang ke rumah memang akan mendapat 'buah tangan' seperti tudung, telekung atau kain batik yang memang tersimpan di rumah memandangkan saya suka membeli-belah.
"Malah, duit yang diberi anak atau cucu akan dipastikan turut disedekahkan kepada sesiapa yang memerlukan kerana cara itu buat saya bahagia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Raja, di sini, hari ini.
SITI Liah menunjukkan gambar kenangan sewaktu usia muda. FOTO Syaherah Mustafa
Siti Liah berkata, dia memiliki kad pengenalan yang menyatakan usianya 97 tahun, namun begitu ketika ia dibuat, dia berusia sekitar 25 tahun dan memiliki seorang anak.
"Selain air putih, saya suka amalkan meminum air akar kayu yang direbus sendiri kerana badan akan lebih bertenaga selain makan nasi dalam kuantiti yang sedikit. Saya suka makan nasi kosong dengan buah mangga, kedengaran agak pelik tapi begitulah cara saya.
"Selepas kematian suami pada 1985, saya menumpang kasih anak-anak dan cucu cicit yang menjaga saya dengan baik termasuk mengambil berat soal kesihatan. Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan hari ini dan sentiasa berdoa semoga terus dipanjangkan umur untuk menikmati kehidupan ini," katanya
Sementara itu, anaknya, Manura Idris, 71, berkata, ibunya sangat menjaga makan minum selain tidak pernah 'menyentuh' ais dan hanya minum air suam atau air putih biasa saja.
"Ibu selalu berpesan kepada anak-anak dan cucu agar tidak lokek bersedekah dan berbuat baik supaya hidup diberkati, InsyaAllah kami sekeluarga akan mengingati segala nasihatnya," katanya yang juga anak keempat daripada 12 beradik.Disiarkan pada: Mei 16, 2021 @ 6:09pm.1
No comments:
Post a Comment