Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
PEMAIN Sri Pahang FC, Lee Tuck meraikan golnya bersama rakan sepasukan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Kuantan: Biarpun Sri Pahang FC mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas UiTM FC semalam, Dollah Salleh mengakui masih belum berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukan itu.
Ketua jurulatih pasukan itu berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki jika mahu bersaing dengan pasukan yang berada di persada Liga Super.
"Daripada segi permainan, belum lagi apa yang diinginkan walaupun pemain mempamerkan prestasi lebih baik apabila berjaya mencapai misi kemenangan pada perlawanan ini.
"Namun, saya gembira kerana matlamat mengutip tiga mata pada perlawanan terakhir pusingan pertama menjadi kenyataan.
"Kemenangan ini juga membantu meningkatkan motivasi kepada pemain untuk mempamerkan aksi lebih bagus pada pusingan kedua nanti," katanya.
Mengulas kemenangan besar ke atas UiTM, Dollah tidak menjangkakan pasukannya mencatat kemenangan dengan menjaringkan lima gol.
"Bagi saya, kami bernasib baik apabila UiTM tidak menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan apabila Helmi Eliza Elias berjaya menyelamatkan sepakan penalti.
"Selepas itu pemain bangkit untuk menambah tiga gol untuk memastikan Sri Pahang mencatat kemenangan," katanya.
Pada perlawanan itu, lima gol Sri Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Lee Tuck, Pedro Henrique, Muhamad Baqiuddin Shamsudin dan Herold Goulon manakala jaringan sendiri pemain UiTM, Muhammad Fahmi Mohd Rizam.
Biarpun mencatat kemenangan besar, skuad Tok Gajah kekal berada di tangga kedua tercorot liga dengan mengutip lapan mata selepas 11 perlawanan.
Disiarkan pada: Mei 2, 2021 @ 1:24pm.
No comments:
Post a Comment