KLOPP dan Alisson berpelukan selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
London: Jurgen Klopp menganggap jaringan kemenangan sensasi oleh Alisson yang diraikan penuh emosi sangat menyentuh perasaan selepas penjaga gol itu memastikan Liverpool terus kekal dalam saingan empat teratas menerusi tandukan padu pada minit ke-95 di The Hawthorns.
Ketika kedudukan 1-1 dan Liverpool amat memerlukan tiga mata bagi mencerahkan peluang ke Liga Juara-Juara, penjaga gol Brazil itu mara ke depan dan menanduk kencang sepakan sudut Trent Alexander-Arnold.
Alisson yang kematian bapa secara tragis awal tahun ini jelas sangat terharu selepas tamat perlawanan dan Klopp yang turut berdepan detik sukar musim ini berkata dia dapat berasakan apa yang dilalui penjaga gol itu.
AKSI Alisson menanduk gol kemenangan Liverpool semalam. FOTO AFP
"Kami sangat rapat, jadi saya tahu ia amat bermakna kepadanya dan apa yang berlegar dalam fikirannya," kata pengendali Liverpool itu.
"Detik sangat hebat. Sangat menyentuh perasaan. Ia hanyalah bola sepak tetapi ia seperti dunia kepada kami."
Mengenai kejayaan Alisson muncul penjaga gol pertama Liverpool meledak jaringan dalam aksi profesional, Klopp berkata: "Sukar dipercayai. Saya tak pernah lihat jaringan seperti itu, teknik luar biasa!
"Kami masih dalam saingan tetapi pada Rabu ini (Liverpool berkunjung ke Burnley) akan menjadi pertarungan yang sama. Saya wajar puji West Brom yang menyukarkan kami tetapi akhirnya kami berjaya melakukannya."
Sebelum 'campur tangan' Alisson, Liverpool tampak hampir terlepas peluang menekan Leicester City dan Chelsea, dua pasukan di atas mereka dalam carta Liga Perdana.
Mohamed Salah meledak gol penyamaan menarik selepas Hal Robson-Kanu membuka tirai jaringan tetapi Liverpool selepas itu bergelut memecah kubu lawan.
Bagaimanapun, Klopp tetap memuji sikap pemainnya yang beraksi dengan taktikal dirancang sehingga tamat perlawanan. Dua aksi Liverpool selepas ini ialah menentang Burnley di Turf Moor pada pagi Khamis dan menerima kunjungan Crystal Palace Ahad ini.
Disiarkan pada: Mei 17, 2021 @ 7:32am.1
No comments:
Post a Comment