Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
WAN Rahimah menunjukkan gambar tiga jari anak saudaranya yang hancur selepas terkena letupan mercun bola. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Kota Bharu: "Walaupun pulang dalam keadaan berlumuran darah dan tiga jari tangan putus, dia tidak menangis sebaliknya hanya mengungkap kalimah SubhanAllah," kata Wan Rahimah Wan Noh, 31, ibu saudara kepada Nor Syam Syah Kiemee Ahama, 11.
Kanak-kanak itu putus tiga jari tangan kanan selepas terkena mercun bola yang pada mulanya disangka tidak meletup selepas dibaling dalam kejadian di di Kampung Kedai Buloh, sehari sebelum sambutan perayaan Aidilfitri.
Wan Rahimah berkata Nor Syam Syah Kiemee keluar bermain mercun bola berdekatan sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya bersama anak sulungnya, Aefan Rasya Adnan, 13, dan beberapa rakan lain pada jam 1 tengah hari, Rabu lalu.
"Saya difahamkan Nor Syam Syah Kiemee sudah menyalakan sumbu pada mercun bola dan mencampaknya ke tanah.
"Bagaimanapun selepas beberapa saat menunggu mercun itu seperti tidak berfungsi sebelum dia menghampirinya dan ketika itulah ia meletup dan menyebabkan tiga jari kanannya putus," katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu salah seorang rakan membawa Nor Syam Syah pulang ke rumah keluarganya.
"Selepas menghantar anak saudara pulang, rakannya itu pergi semula ke tempat kejadian dan kembali semula dengan membawa sepotong jari yang diletakkan di dalam plastik, manakala dua lagi jari tidak ditemui.
"Saya kemudian bersama rakan anak saudara pergi sekali lagi ke tempat kejadian dan menemui dua lagi jari yang sudah hancur. Saya kemudian segera menanam jari telunjuk, hantu dan manis itu," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampng Kedai Buloh di sini, hari ini.
Wan Rahimah berkata Nor Syam Syah Kiemee dibawa ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, ibu mangsa Wan Munirah Wan Noh, 40, berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu.
"Sebagai ibu, saya juga berasa kasihan dan tidak menyangka ia terjadi pada anak sendiri dan saya ingin nasihatkan kepada anak muda lain untuk berhati-hati dan tidak bermain mercun.
"Alhamdulillah, keadaan anak saya sekarang semakin baik dan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk lebih berhati-hati kerana tidak menyangka tiba-tiba sahaja dia menjadi cacat kekal di tangan kanan," katanya ketika dihubungi.Disiarkan pada: Mei 14, 2021 @ 9:16pm.1
1https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/705992/putus-3-jari-akibat-mercun (diakses pada 14 Mei 2021)
No comments:
Post a Comment