Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 13, 2020 @ 3:49pm
zulfaizan@bh.com.my
PENAFIAN TMJ menerusi akaun Insta Story miliknya.
KUALA LUMPUR: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan dakwaan beliau dengki dengan keputusan kelab Belgium, KV Kortrijk mengikat pemain muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.
Tuduhan itu dibuat beberapa pihak susulan kenyataan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa urusan perpindahan terbabit sebenarnya dilakukan atas 'permintaan' beberapa pemimpin negara sebelum ini.
TMJ menjelaskan kenyataan atau komen yang dibuat beliau di laman sosial Instagram itu adalah perkara yang betul.
"Ada kepala? Semua cakap TMJ dengki. Awak ingat dengan apa yang Allah sudah kurniakan dalam hidup saya ini, saya ada masa nak cemburu atau dengki ke?
"Kalau benda bagus saya cakap bagus, kalau tidak saya cakap tidak," katanya menerusi akaun Insta Story miliknya hari ini.
"Pakai otak yang ada dan fokus kepada dua baris terakhir. Dua benda mustahak dan positif saya cakap yang semua tak peduli.
"Pertama semoga berjaya. Kedua jangan jadi victim (mangsa) kepada conman (penipu)."
Semalam, TMJ mencetuskan perdebatan hangat berkaitan perpindahan Luqman ke KV Kortrijk selepas mendakwa perpindahan bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu didalangi 'modal politik' dan bukan atas tiket merit ataupun kemampuan pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.
Terdahulu, penyerang muda negara itu mengesahkan sudah mendapat panggilan daripada KV Kortrijk untuk menyertai kelab Belgium itu, minggu depan.
Malah, perpindahannya juga tampak 'direstui' Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang mengesahkan pihaknya akan melepaskan Luqman secara percuma meskipun pemain itu memiliki kontrak bersama mereka.SUMBER-BH ONLINE
No comments:
Post a Comment