Oleh Media Mulia
31 Mac 2021, 10:01 am
LUXEMBOURG: Cristiano Ronaldo sudah melupakan kekecewaan di Serbia apabila meledak gol antarabangsa ke-103 ketika membantu Portugal bangkit menewaskan Luxembourg 3-1 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 pagi tadi.
Gol kemenangan Ronaldo pada waktu kecederaan dinafikan ketika Portugal seri 2-2 menentang Serbia di Belgrade, Ahad lalu tapi dia tidak dapat disekat hari ini apabila menyudahkan hantaran lintang Joao Cancelo.
Begitupun, Luxembourg terlebih dulu mengejutkan juara Eropah itu apabila mendahului saingan menerusi tandukan Gerson Rodrigues pada minit ke-30, situasi yang menimbulkan rasa tidak senang jurulatih Portugal, Fernando Santos.
DIOGO Jota (kanan) meledak gol penyamaan Portugal.
“Kami menghabiskan 30 minit pertama dengan bermain perlahan, tiada intensiti di atas padang.
“Saya pernah beritahu pemain kami tidak akan menang jika semata-mata bergantung kepada kualiti dan mereka perlu tunjukkan intensiti.
“Pemain tiba-tiba tersedar, meningkatkan permainan dan bangkit menyamakan kedudukan. Pada babak kedua kami bermain lebih baik dan agresif,” kata Santos.
Penyerang Liverpool, Diogo Jota yang meledak dua gol dalam aksi menentang Serbia sekali lagi cemerlang apabila menjaringkan gol penyamaan pada waktu kecederaan separuh masa pertama.
Hanya lima minit memasuki babak kedua, Ronaldo meletakkan pasukan pelawat di depan sebelum Joao Palhinha menambah gol ketiga.
JOAO Palhinha melengkapkan gol ketiga Portugal.
Kemenangan itu meletakkan Portugal mengungguli Kumpulan A, berkongsi tujuh mata dengan Serbia, yang menang 2-1 berdepan Azerbaijan dalam satu lagi saingan hari ini.
Ronaldo, 36, kini hanya enam gol kurang daripada rekod sepanjang zaman milik legenda bola sepam Iran, Ali Daei yang menjaringkan 109 gol antarabangsa. – AGENSI
SUMBER-UM ONLINE
No comments:
Post a Comment