Ad

Thursday, 27 August 2015

‘Demi Harimau Malaya’


Oleh MOHD. FAZLI MOHD. YADI, TENGKU ASYRAF TENGKU SALLEHUDDIN dan NOR AZURIN ALI
 
FAIZ (kanan) mula melapor diri di Wisma FAM semalam selepas menerima panggilan untuk menyertai skuad Harimau Malaya pada saat-saat akhir.

PEMAIN penyerang Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri menerima dengan hati terbuka apabila dipanggil untuk menyertai latihan skuad bola sepak kebangsaan kendalian jurulatih Dollah Salleh.

Selepas menerima panggilan daripada Dollah, Faiz terpaksa melupakan percutiannya di Pulau Langkawi untuk melapor diri ke kem latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan serius di bahagian tulang rusuk memaksa Dollah membuat keputusan drastik dengan memanggil Faiz sebagai penggantinya menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Bangladesh pada Sabtu ini.

Namun, Faiz menyifatkan seruan itu harus digunakan sebaik mungkin, apatah lagi berpeluang untuk kembali menyarung jersi kebangsaan setelah kali terakhir pada tahun 2012 dan 2013.

“Saya sedang berada di Langkawi untuk bercuti. Tiba-tiba dapat panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan dan ia membuatkan saya terus pulang untuk menyertai kem latihan di sini (Kuala umpur).

“Pasukan Pulau Pinang memberi cuti selama 10 hari kepada kami. Saya sudah berada di Langkawi selama se­minggu. Demi menyahut seruan skuad kebangsaan dan cabaran negara, saya tidak kisah kerana bermain bola sepak adalah karier saya.

“Saya akan buktikan yang terbaik untuk mendapat tempat dalam skuad utama nanti. Insya-Allah, kalau jurulatih memberi peluang, saya pasti akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu telah menja­ringkan sembilan gol dalam 22 perlawanan Liga Premier ketika bersama Pulau Pinang pada musim ini.

Bagi Faiz, dia akan membuktikan prestasinya selaku penggempur pilihan selepas mengalami pertukaran posisi daripada pemain sayap kepada penyerang ketika bersama skuad Harimau Kumbang bawah bimbingan Jacksen F. Tiago.

Pemain berusia 28 tahun itu juga dijangka tidak berdepan masalah untuk membentuk keserasian dengan pemain lain kerana dia juga sudah biasa bergandingan bersama Mohd. Nor Farhan Muhammad ketika mewakili Kelantan pada tahun 2012.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3k1qiwRPp Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment